KUALA LUMPUR – Jangan sesekali mencabar UMNO untuk keluar daripada kerajaan kerana parti ini mempunyai peranan penting dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, pihak yang mahu UMNO meninggalkan kerajaan perlu berani berdepan dengan implikasi keputusan berkenaan.
Ia kerana, kerajaan hari ini terbentuk dengan sokongan UMNO.
“Jangan kita keluar daripada kerajaan hanya kerana tekanan tertentu. Kalau ada yang mahu keluar daripada kerajaan, keluarlah dengan berani.
“Tetapi harus diingat, Kerajaan Perpaduan Malaysia ini terbentuk kerana UMNO memberikan sokongan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kedudukan UMNO dalam kerajaan tidak boleh dipandang ringan kerana sokongan parti itu turut menjadi asas kepada pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Perdana Menteri dan kerajaan hari ini wujud dengan sokongan UMNO,” katanya.
Menurut beliau, perkara itu turut jelas dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama bagi membentuk kerajaan gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid menegaskan UMNO mempunyai hak menentukan hala tuju politiknya sendiri tanpa perlu diajar oleh parti lain.
“Rumah ini ada tuannya. Rumah UMNO ini ada tuannya. Tuan UMNO ialah ahli-ahli UMNO di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, perbahasan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2026 juga menunjukkan perwakilan lebih memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan parti, membela rakyat dan menghadapi PRU16, bukannya mencampuri urusan parti lain.
“Kita tidak sedikit pun cuba mengajar parti lain bagaimana mentadbir parti masing-masing. Kita cuma membincangkan bagaimana memperkukuhkan UMNO, membela rakyat dan menghadapi PRU16,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan, UMNO tidak perlu meniru mana-mana parti lain kerana parti itu mempunyai prinsip, identiti dan hala tuju tersendiri.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya kekuatan UMNO terus dipelihara selepas kejayaan parti di Johor dan Negeri Sembilan, termasuk membawa semangat sama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Katanya, kejayaan tersebut perlu diteruskan dengan kesatuan dan kekuatan dalaman parti bagi memastikan UMNO terus menjadi kuasa politik yang relevan.
“UMNO mempunyai hubungan politik kita sendiri bagi menentukan hala tuju kita sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette
















