KUALA LUMPUR – UMNO perlu menguji sejauh mana keikhlasan rakan politik yang bercakap mengenai penyatuan Melayu dengan meminta mereka membuktikan formula kerjasama secara praktikal, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, ujian berkenaan boleh dilakukan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan mencadangkan salah sebuah negeri di bawah gabungan SG4 mengadakan pilihan raya untuk melihat sendiri formula yang digunakan.
“Saya nak cadangkan kepada Presiden, lepas Melaka kita cuba pula sejauh mana keikhlasan kawan kita.
“Kita minta salah satu daripada negeri SG4 buat pilihan raya. Kau buat pilihan raya, aku nak tengok apa formula kau pakai,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini, hari ini.
Menurut Mohamad, UMNO tidak mahu sekadar mendengar tawaran persefahaman politik tanpa melihat sejauh mana pihak lain sanggup berkongsi risiko dan tanggungjawab.
Beliau berkata, jika benar penyatuan umat Melayu menjadi asas kerjasama, semua pihak perlu menunjukkan keikhlasan melalui formula yang boleh diterima bersama.
“Kalau benar-benar ikhlas atas nama penyatuan umat Melayu, maka kita lihat macam mana formula yang nak digunakan.
“Di situ nanti kita lihat dan bolehlah kita guna pakai apa formula yang boleh menyatukan orang Melayu untuk kita menghadapi PRU16,” katanya.
Mohamad berkata UMNO tidak seharusnya berada dalam keadaan hanya memberi ruang kepada pihak lain mendapat keuntungan politik, sedangkan parti itu sendiri menanggung risiko.
“Kita nak test kejujuran. Kita nak tengok sejauh mana. Jangan kita sahaja hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















