KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan kepimpinan UMNO Melaka supaya tidak menggadaikan maruah parti semata-mata untuk mendapatkan keuntungan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau memberi pesanan itu kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh supaya rundingan dengan mana-mana pihak dibuat secara berhati-hati dan tidak menjejaskan kepentingan UMNO serta Barisan Nasional (BN).
“Pakat elok-elok. Muafakat biar bulat. Runding jangan selisih.
“Tak betul, jangan proceed. Kita ada maruah. Jangan gadaikan maruah kita demi untuk mendapat tuan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, UMNO Melaka perlu mengambil kira semua aspek sebelum menentukan bentuk kerjasama politik kerana keputusan yang dibuat hari ini boleh memberi kesan terhadap kedudukan parti dalam jangka panjang.
“Saya mengingatkan supaya rundingan tidak dilakukan secara terburu-buru atau sebelah pihak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, UMNO seluruh negara bersedia turun membantu Melaka bagi menghadapi pilihan raya negeri itu.
“Kami di Negeri Sembilan dan Johor sudah lapang dada. Kami sudah menang, sudah tubuh kerajaan.
“Sekarang tiba gilirannya Melaka. Kami akan turun ramai-ramai,” katanya.
Sementara itu, katanya, pertembungan antara parti-parti teras Melayu perlu dielakkan bagi memastikan undi Melayu tidak terus berpecah dan pengalaman Negeri Sembilan menunjukkan ia memberi kesan besar kepada kemampuan parti untuk membentuk kerajaan.
“Dari 23 kerusi majoriti Melayu di Negeri Sembilan, UMNO kalah di tujuh kerusi pada pilihan raya lalu.
“Orang Negeri Sembilan nak supaya cukup-cukuplah pertembungan parti teras Melayu.
“Dia tak kisah parti ke apa, dia kisah supaya orang Melayu ini cukup-cukuplah,” katanya.
Mohamad berkata, keadaan itu menyebabkan UMNO perlu mencari formula tersendiri bagi Negeri Sembilan dan tidak boleh meniru bulat-bulat pendekatan yang digunakan di Johor.
Katanya, Johor mempunyai sentimen identiti “Bangsa Johor” yang kuat, sedangkan Negeri Sembilan mempunyai struktur masyarakat berasaskan kelompok suku yang berbeza.
“Negeri Sembilan tak ada Bangsa Negeri Sembilan yang boleh kita jadikan sebagai tarikan ataupun mengumpul semua,” katanya.
Beliau berkata, perkara paling penting ialah memastikan tidak berlaku pertandingan sesama parti Melayu di kawasan yang akhirnya hanya memecahkan undi.
Justeru, katanya, strategi politik perlu disusun berdasarkan realiti setiap negeri.
“Strategi biar Presiden dan pucuk pimpinan tentukan. Tak ada satu one size fits all,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















