KUALA LUMPUR – Ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai ucapan yang berani dan ikhlas dalam memperjelaskan hala tuju parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ucapan berkenaan turut menggariskan hala tuju parti secara tersusun selain memperjelaskan aspirasi pemimpin dan ahli yang mahu UMNO kembali menjadi kerajaan.
Menurut beliau, antara perkara utama yang ditekankan Ahmad Zahid ialah keperluan memperkukuhkan parti bagi terus memberikan keyakinan kepada rakyat dan jentera.
“Ini antara perkara yang dibuat dan ucapan ini, ucapan Presiden yang paling berani, yang bercerita, yang ikhlas, yang sebenarnya memperjelaskan itulah isi hati pemimpin, ahli-ahli masyarakat yang mahu supaya parti terus akhirnya menjadi kerajaan semula pada bila-bila hari akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ucapan penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Shamsul Anuar berkata, UMNO juga sudah membuat persediaan awal bagi menghadapi PRU16, termasuk menyediakan tawaran baharu yang lebih baik kepada rakyat.
Katanya, tawaran tersebut diyakini mampu membantu menyelesaikan pelbagai kemelut yang berlaku dalam semua aspek.
“Saya percaya, rakyat sudah memahaminya dan bila kali pertama, kita telah membuat persediaan awal untuk membuat tawaran baru kepada mereka yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















