KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat laporan polis berhubung penyalahgunaan nama, jawatan dan maklumat pegawainya bagi tujuan tempahan serta urusan perolehan, termasuk kes yang dilaporkan berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
JAS berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana penyalahgunaan identiti pegawai boleh mengelirukan orang awam dan pihak berkepentingan selain menjejaskan kredibiliti serta integriti jabatan.
Menurut JAS, sebarang surat atau dokumen yang menggunakan nama, jawatan atau maklumat pegawai bagi tujuan urusan rasmi tetapi tidak dikeluarkan menerusi saluran dan prosedur rasmi ditetapkan adalah tidak sah serta tidak diiktiraf sebagai dokumen rasmi jabatan.
“Jabatan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan dan memastikan perkara ini ditangani mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, JAS menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang urusan tempahan, pembelian, pelantikan vendor atau transaksi perolehan yang dibuat mana-mana pihak menggunakan identiti pegawainya tanpa kebenaran.
Jelasnya, semua urusan rasmi termasuk perolehan dan pelantikan vendor hendaklah dilaksanakan mengikut tatacara, prosedur serta saluran rasmi yang ditetapkan.
“Pihak yang mempunyai keraguan mengenai kesahihan mana-mana surat atau dokumen menggunakan nama JAS dinasihatkan mendapatkan pengesahan terus daripada jabatan melalui saluran rasmi.
“Langkah itu penting bagi memastikan sebarang urusan dibuat dengan pihak yang sah serta mengelakkan penyalahgunaan nama jabatan untuk tujuan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan JAS mengesan lapan percubaan penipuan membabitkan tempahan perolehan kerajaan, dengan dua daripadanya menyebabkan pembekal mengalami kerugian melebihi RM200,000.
Pengarah JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, penipuan itu mula dikesan pada 4 September lalu selepas seorang pembekal peralatan selaman hadir ke pejabat jabatan berkenaan bagi menyemak kesahihan dokumen perolehan kerajaan yang diterimanya.
Beliau berkata, JAS WPKL sebelum itu turut menerima beberapa pertanyaan berkaitan dokumen perolehan kerajaan berkenaan sejak pertengahan Ogos lalu. – MalaysiaGazette
















