KUALA LUMPUR – Tindakan besar-besaran pihak berkuasa terhadap pusat penipuan di Kemboja dan Laos dipercayai mendorong sindiket scam mengubah strategi dengan memecahkan operasi ke beberapa negara lain, termasuk Indonesia.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan, perubahan taktik itu turut menyaksikan rakyat Malaysia terus menjadi sasaran untuk direkrut sebelum dieksploitasi sebagai pekerja pusat penipuan di luar negara.
Katanya, penahanan 30 rakyat Malaysia dan seorang warga Taiwan yang disyaki terbabit aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia baru-baru ini memberi gambaran bahawa operasi sindiket berkenaan mungkin semakin tersebar.
“Saya tidak pelik dengan perkembangan ini. Apabila tindakan besar-besaran dibuat terhadap pusat scam terbesar di Kemboja dan Laos, sindiket mula mengubah operasi. Mereka tidak lagi berpusat di satu tempat, sebaliknya memecahkan operasi supaya tidak mudah dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada media baru-baru ini.
Menurut Hishamuddin, pihaknya sebelum ini menerima aduan membabitkan rakyat Malaysia yang diperdaya untuk bekerja di pusat penipuan di Sri Lanka, Pakistan, India, Afrika dan Dubai, namun kes di Indonesia adalah perkembangan baharu yang perlu diberi perhatian.
Beliau berkata, pengurangan aktiviti pusat penipuan di Kemboja, Laos dan Myanmar tidak bermakna sindiket terbabit sudah lumpuh kerana mereka dipercayai hanya mengubah kaedah dan lokasi operasi.
Katanya, sindiket kini juga tidak semestinya memerlukan pusat penipuan berskala besar, sebaliknya operasi boleh dipecahkan kepada beberapa lokasi termasuk kondominium bagi mengurangkan risiko dikesan.
“Mereka tahu apabila berpusat di satu tempat, tekanan daripada pihak berkuasa akan menjadi lebih kuat. Jadi, mereka mula menyebarkan operasi ke negara lain dan menggunakan lokasi yang lebih sukar dikesan,” ujarnya.
Mengulas kaedah merekrut mangsa, Hishamuddin berkata, sindiket menggunakan ejen untuk mendekati golongan muda yang berdepan masalah keluarga atau kewangan sebelum membina kepercayaan secara perlahan-lahan.
Menurutnya, ejen terbabit mungkin menawarkan hiburan, tempat tinggal atau wang saku bagi mewujudkan hubungan rapat dengan mangsa sehingga mereka mudah dipengaruhi untuk menerima tawaran bekerja di luar negara.
“Proses ini kita panggil grooming. Apabila kepercayaan sudah terbentuk, apa sahaja yang dikatakan ejen akan dipercayai. Akhirnya mereka mengikut ejen itu ke luar negara sebelum dieksploitasi sindiket,” dedah beliau.
Hishamuddin berkata, masalah pendapatan dan tekanan ekonomi turut menjadi antara faktor utama menyebabkan rakyat Malaysia mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang menjanjikan gaji tinggi bagi tugas yang kononnya mudah.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pencari kerja supaya menyemak setiap tawaran pekerjaan di luar negara dengan teliti, termasuk memastikan mempunyai surat tawaran yang sah, kelulusan kedutaan serta pas kerja yang sewajarnya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak memasuki sesebuah negara menggunakan pas sosial sekiranya tujuan sebenar adalah untuk bekerja, selain menggesa keluarga memainkan peranan lebih aktif memantau pergaulan dan pergerakan anak-anak.
“Usaha kerajaan, NGO dan media sahaja tidak mencukupi kalau keluarga tidak memainkan peranan. Kita perlu sama-sama memastikan anak-anak tidak mudah dipengaruhi pihak yang akhirnya membawa mereka ke pusat penipuan di luar negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















