JOHOR BAHRU – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sedia dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung siasatan isu Lembaga Tabung Haji (TH) sekiranya dipanggil.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang notis rasmi atau didatangi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk berbuat demikian.
“Saya tidak berdepan sebarang masalah untuk hadir ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
“Saya sudah lama bersedia, tak ada masalah. Cuma untuk bantu disuruh pergi (ke premis siasatan) atau didatangi, setakat ini tidak ada sebarang notis yang dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penerangan RCI TH di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan, Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat dan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Pendedahan laporan berhubung pengurusan dan operasi Lembaga TH kepada umum, Julai lalu membawa kepada beberapa siri siasatan dan tindakan undang-undang terhadap individu yang dikenal pasti.
Setakat hari ini, empat individu sudah didakwa di mahkamah, manakala beberapa lagi termasuk bekas pengurusan kanan TH dan seorang bekas menteri ditahan serta direman bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut mengenai siasatan isu berkenaan, Mujahid menjelaskan tindakan semasa adalah bersandarkan kepada 14 kes yang dirujuk untuk diambil tindakan lanjut.
Menurutnya, hampir separuh daripada 14 kes tersebut sebenarnya telah dikenal pasti dan dilaporkan kepada pihak polis semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 ketika proses pemulihan TH dijalankan.
“Laporan polis telah pun dibuat pada zaman itu, tetapi tiada tindakan susulan sehinggalah berlaku perubahan kerajaan.
“Jadi hari ini, nampaknya usaha berkenaan diteruskan melalui laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menepis tanggapan bahawa jelajah penerangan yang dijalankannya mengganggu proses perundangan yang sedang berlangsung di mahkamah.
Jelasnya, penganjuran siri jelajah tersebut bertujuan memberi kesedaran awam agar isu salah urus tadbir sedemikian tidak berulang di TH mahupun institusi lain, selain menangkis kekeliruan yang ditimbulkan sesetengah pihak terhadap laporan RCI.
“Mahkamah kita tak kacau, cuma yang wajar kita buat ialah mengambil pengajaran.
“Tujuan laporan RCI itu dibawa ke pengetahuan umum supaya kita ambil pengajaran dan pada masa sama menepis kekeliruan yang timbul. Bagi kita, RCI ini satu perkara besar kerana telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















