Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KOTA BHARU – Empat agensi kerajaan akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melaksanakan penerbangan ihsan bagi membantu rakyat di pedalaman yang memerlukan bantuan perubatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata agensi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau berkata khidmat itu akan digunakan sementara waktu sehingga selesai siasatan insiden membabitkan helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas dan terbakar di Miri, Sarawak pada Selasa lepas.

“Alternatif yang digerakkan antaranya mendapatkan bantuan JBPM menerusi perkhidmatan pemindahan perubatan kecemasan melalui udara (EMARS),” katanya kepada pemberita selepas mengiringi jenazah pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin yang maut dalam nahas itu di Masjid Al Karomah Mukim Baung Besar, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Beliau berkata alternatif itu diambil kerana KKM tidak boleh membiarkan perkhidmatan itu terhenti terlalu lama dan dalam masa yang sama, langkah memperkukuh aspek berkaitan keselamatan juga akan dilaksanakan.

“KKM sedang menanti hasil siasatan pihak berkuasa sebelum menentukan langkah seterusnya bagi memperkukuh aspek keselamatan dan membolehkan perkhidmatan FDS disambung semula.

“Tujuh pasukan FDS KKM memberi perkhidmatan kepada kira-kira 14,000 hingga 15,000 penduduk di kawasan pedalaman yang sukar dicapai dengan menggunakan laluan biasa,” katanya.

Pada Selasa lepas, lima termasuk empat petugas FDS yang menaiki helikopter BO-105 maut selepas helikopter itu terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang kira-kira 3.40 petang.

Selain Dr Ainul Baraah, 33, turut terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, iaitu Jessie Paya Jok, 44, dan Debra Moset, 40. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here