JOHOR BAHRU – Sebanyak 4,646 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara setakat Julai lalu berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata, Johor mencatatkan jumlah kes tertinggi antara negeri yang terlibat dengan 823 kes, meningkat berbanding 518 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
“Peningkatan jumlah kes itu menunjukkan keperluan untuk mempergiat usaha advokasi dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu keganasan rumah tangga serta saluran bantuan yang disediakan kepada mangsa.
“Usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan masyarakat lebih peka terhadap isu keganasan rumah tangga dan mengetahui saluran yang boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) dan Hari Terbuka Prismanita Negeri Johor 2026 di sini, semalam.
Katanya, bagi menangani isu berkenaan, kementeriannya melaksanakan beberapa siri Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga atau Aku Wanita@KRT di seluruh negara.
Hui Ying berkata, sehingga semalam, sebanyak 11 program Aku Wanita@KRT telah dilaksanakan di 11 negeri dengan penglibatan seramai 3,915 peserta.
Menurutnya, seramai 267 peserta turut menerima sokongan menerusi K-Chat, iaitu satu bentuk intervensi psikologi secara berkumpulan yang melibatkan pemandiri, kaunselor dan fasilitator terlatih.
Program itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai isu keganasan rumah tangga, selain meningkatkan pengetahuan tentang saluran bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh mangsa.
Melalui pelaksanaan program advokasi itu, masyarakat turut digalakkan memainkan peranan dalam membantu mengesan dan melaporkan kes keganasan rumah tangga, selain memberikan sokongan kepada mangsa untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan sewajarnya. – MalaysiaGazette
















