ALOR GAJAH – Tengkorak dan serpihan tulang manusia dipercayai mangsa bunuh yang dijumpai di dalam tong berisi simen dalam kawasan tadahan air Empangan Durian Tunggal, Machap Bahru, di sini pagi tadi dipercayai sudah berusia lebih tiga minggu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, penemuan itu dilaporkan kira-kira jam 11.40 pagi selepas tiga pemancing mencurigai tong biru berkenaan sebelum memotong sedikit bahagian atasnya untuk mengetahui kandungan di dalamnya.
Lebih mengejutkan, pemeriksaan awal polis yang tiba pada jam 12 tengah hari mendapati bahagian atas tong berkenaan mempunyai kesan simen, manakala tengkorak ditemukan sudah terlerai dan tiada tisu melekat pada tulang.

“Berdasarkan siasatan awal, ia adalah tengkorak dipercayai manusia bersama serpihan rangka dan tulang.
“Ia dipercayai dipercayai berusia antara tiga minggu dan ke atas, memandangkan leraian tulang tersebut dan tiada tisu-tisu yang melekat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Beliau berkata, tong berkenaan ditemukan kira-kira 15 meter dari jalan dan pihaknya mendapatkan bantuan bomba untuk mengangkatnya ke jalan sebelum dibawa ke Hospital Melaka bagi pemeriksaan lanjut serta bedah siasat.
“Pemeriksaan mendapati ada kesan simen pada bahagian atas tong dipercayai menyebabkan air masuk selepas penutup asalnya terlucut, sekali gus mempercepatkan proses pereputan,” katanya.

Beliau berkata, polis masih belum membuat sebarang tangkapan dan sedang menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti jantina serta identiti mangsa.
“Setakat ini masih belum ada suspek ditangkap dan kita menyeru kepada orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi balai berdekatan untuk siasatan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan bunuh,” katanya. – MalaysiaGazette
















