Foto: IPD SPT

BUKIT MERTAJAM – Sebanyak 124 motosikal disita manakala 10 individu ditahan dalam Op Motosikal Bersepadu bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan lumba haram di Jalan Permatang Pauh, Seberang Jaya, di sini awal hari ini.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) memaklumkan dalam operasi itu sebanyak 639 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan selepas menjalankan pemeriksaan terhadap 371 motosikal.

“Sebanyak lapan individu ditahan mengikut Seksyen 42(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala dua lagi ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut IPD SPT kawasan itu dikenal pasti sebagai antara lokasi yang menjadi tumpuan golongan samseng jalanan untuk berkumpul dan melakukan aktiviti berbahaya terutama pada hujung minggu.

Polis menjelaskan antara kesalahan yang dikesan termasuk menunggang motosikal pada kelajuan tinggi, melawan arus, melakukan aksi “wheelie” serta menggunakan ekzos yang diubah suai sehingga menghasilkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman awam.

Menurut IPD SPT tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan, lumba haram dan kesalahan lain yang boleh membahayakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya.

Kenyataan itu memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga,  diseru supaya memastikan golongan remaja tidak terlibat dalam kegiatan itu yang boleh mengakibatkan kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa,” menurut IPD SPT.

Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SP bersama-sama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau  Pinang, Unit peronda lebuh raya (EMPV) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD SPT, Polis Bantuan PLUS dan Jabatan Alam Sekitar. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here