Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu terlebih dahulu menyelesaikan persoalan integriti yang masih membayangi dirinya sebelum bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri ke-11 selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairuddin berkata, hasrat untuk memimpin negara tidak seharusnya hanya bersandarkan kekuatan politik, sebaliknya perlu disertai rekod integriti yang diyakini rakyat.

Beliau berkata, masih terdapat proses perundangan berkaitan keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) membabitkan kes Yayasan Akalbudi.

Katanya, Mahkamah Persekutuan dijadualkan pada 8 Oktober ini untuk mendengar permohonan beliau dan Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran merayu dalam prosiding berkaitan cabaran Badan Peguam terhadap keputusan berkenaan.

“Saya tidak mahu mendahului mahkamah dan kita mesti menghormati proses undang-undang.

“Tetapi jika benar ada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, saya fikir adalah lebih baik segala persoalan yang masih membayangi integriti seseorang pemimpin diselesaikan terlebih dahulu melalui saluran undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Danish berkata, pihaknya menghormati hak mana-mana parti menentukan calon Perdana Menteri, namun jawatan tertinggi negara bukan sekadar soal mempunyai sokongan politik untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, Malaysia memerlukan seorang Perdana Menteri yang bukan sahaja mempunyai sokongan politik, tetapi turut mendapat keyakinan rakyat untuk memimpin negara.

“Soal siapa yang mahu dicalonkan sebagai Perdana Menteri selepas PRU akan datang adalah hak setiap parti dan gabungan politik dan tidak perlu mendahului keputusan rakyat.

“Namun, sesiapa sahaja yang bercita-cita memimpin negara perlu memahami bahawa jawatan Perdana Menteri bukan sekadar soal mempunyai sokongan politik. Ia turut membawa persoalan integriti, keyakinan rakyat dan imej Malaysia di mata dunia,” katanya.

Danish berkata, kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan ucapan Ahmad Zahid sebagai ucapan seorang “prime minister in waiting” turut menjadikan persoalan berhubung integriti itu sesuatu yang wajar diberikan perhatian.

“Apabila Khairy Jamaluddin sendiri menyifatkan ucapan Presiden UMNO sebagai ucapan seorang “prime minister in waiting”, maka saya fikir wajar juga persoalan mengenai integriti yang masih menjadi perhatian masyarakat diberikan penyelesaian yang jelas melalui proses undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, Ahmad Zahid mengulangi tuntutan supaya PRU-16 diawalkan kerana yakin UMNO menerusi `gelombang biru’ mampu menerajui mandat baharu untuk membentuk kerajaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here