BUTTERWORTH – Seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Tertuduh, Khairul Asyraf Hashim, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rohaida Ishak selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dengan cara menyentuh kemaluan mangsa bagi maksud seksual.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 3 September lalu, jam 4 petang di dalam Masjid Jamek Haji Abdul Latiff, Permatang Pasir dalam daerah Seberang Perai Tengah dekat sini.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh diwakili Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain.
Ketika prosiding, Wan Amira tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas faktor kesalahan serius selain mangsa merupakan kanak-kanak.
“Meskipun tertuduh tidak mempunyai hubungan dengan mangsa namun sering berada di lokasi kejadian,” katanya.
Bagaimanapun, Naqieya memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh merupakan OKU masalah pertuturan, selain tidak bekerja serta ditanggung abangnya yang bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap.
“Justeru risiko tertuduh melarikan diri sangat tipis kerana tertuduh hadir sendiri ke mahkamah dan memberi kerjasama kepada pihak polis,” katanya.
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak, bagi tujuan pemantauan kesihatan mental.
Kes disebut semula pada 14 Oktober depan.
Difahamkan, mangsa berada di belakang bapanya yang sedang menunaikan solat ketika suspek melakukan perbuatan berkenaan. – MalaysiaGazette
















