Foto: FB Anwar Ibrahim

JOHOR BAHRU – Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi di New Delhi ketika ini dijangka memberi kesan terhadap tujuh kepentingan negara yang melibatkan pelbagai sektor dan bidang di negara ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, antaranya dalam sektor pembangunan, pelaburan, perdagangan, pelancongan, meningkatkan teknologi dan memperkukuh hubungan diplomatik.

“Pertamanya Anwar membincangkan kerjasama semikonduktor dengan Modi. Kedua-dua pemimpin membincangkan rantaian bekalan bersepadu, pembangunan bakat, pelaburan dua hala serta usaha menterjemahkan kerjasama semikonduktor kepada perkongsian industri.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali.

“Ini membuka peluang untuk Malaysia menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi, memperkukuh keupayaan teknologi dan membangunkan bakat tempatan. Kita tidak seharusnya kekal sebagai pemain di peringkat hiliran semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua, Anwar mahu meningkatkan perdagangan dan pelaburan Malaysia-India apabila menegaskan komitmen untuk meningkatkan perdagangan dua hala.

Jelasnya, ini termasuk mengambil langkah memudah cara dan mempercepat eksport Malaysia ke India.

Beliau memberitahu, jumlah perdagangan kedua-dua negara mencecah RM79.49 bilion pada 2025, menjadikan India rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan.

Pasaran India yang besar ujarnya, perlu diterjemahkan kepada lebih banyak peluang untuk pengeksport, syarikat tempatan dan perusahaan Malaysia.

Lebih banyak produk Malaysia menembusi India bermakna lebih banyak ruang untuk perniagaan berkembang,” katanya.

Ketiga pula katanya, Anwar membuka ruang kerjasama dalam sektor-sektor strategik baharu apabila pertemuan itu turut menyentuh perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, infrastruktur, ekonomi digital, tenaga, fintech, pendidikan serta pelancongan.

“Kepelbagaian ini penting supaya Malaysia mempunyai lebih banyak sumber pelaburan, teknologi dan pasaran. Dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, jaringan ekonomi yang lebih luas akan menjadikan Malaysia lebih berdaya tahan.

“Keempat, Anwar mahu memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat melalui peningkatan jaringan penerbangan. Lebih banyak penerbangan antara Malaysia dan India bukan sekadar memudahkan pelancongan,” katanya.

Langkah tersebut katanya, turut membuka ruang lebih besar untuk pendidikan, perniagaan, pelaburan dan hubungan antara masyarakat kedua-dua negara.

Apabila hubungan udara diperkukuh, tambahnya, lebih banyak pelancong, pelajar, pelabur dan ahli perniagaan boleh bergerak antara kedua-dua negara.

Beliau menjelaskan, ini memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan dan ekonomi perkhidmatan Malaysia.

Sementara itu, kelima katanya, Malaysia menggunakan kedudukannya dalam ASEAN untuk memperkukuh hubungan dengan India.

“Narendra Modi sendiri menghargai sokongan berterusan Malaysia dalam memperkukuh hubungan ASEAN–India. Ini menunjukkan peranan Malaysia tidak terhad kepada hubungan dua hala, tetapi turut mempunyai dimensi serantau,” katanya.

Menurut Sheikh Umar Bagharib, kedudukan sebagai anggota ASEAN memberikan Malaysia nilai strategik yang lebih besar dalam hubungan dengan India.

Jika dimanfaatkan dengan baik, beliau berkata, Malaysia boleh menjadi penghubung penting antara dua rantau yang mempunyai pasaran dan potensi ekonomi yang besar.

“Keenam Anwar turut menyatakan persetujuan Malaysia terhadap penubuhan Konsulat Jeneral India di Kota Kinabalu, Sabah. Ini merupakan perkembangan baharu dalam hubungan Malaysia–India dan mempunyai nilai penting dari sudut hubungan konsular serta hubungan rakyat dengan rakyat, khususnya di Malaysia Timur,” ujarnya.

Tambahnya, kehadiran konsulat di Kota Kinabalu berpotensi memudahkan urusan rakyat, memperkukuh hubungan ekonomi dan membuka lebih banyak ruang kerjasama antara India dengan Sabah serta Malaysia Timur.

Manfaat dan kepentingan ketujuh katanya, Malaysia perlu memanfaatkan rantaian bekalan India dan memperluas pasaran eksport ke negara itu.

Ujar beliau, perbincangan mengenai rantaian bekalan bersepadu serta usaha memudah cara dan mempercepat eksport Malaysia ke India membuka ruang yang besar untuk syarikat tempatan.

Malaysia kata beliau lagi, perlu melihat India bukan hanya sebagai pasaran untuk menjual produk, tetapi juga sebagai rakan dalam rantaian nilai industri.

“Jika syarikat Malaysia dapat mengambil tempat yang lebih kukuh dalam rantaian bekalan India, khususnya dalam sektor semikonduktor, elektrik dan elektronik serta teknologi, kita bukan sahaja meningkatkan eksport tetapi turut meningkatkan keupayaan industri tempatan untuk bersaing di peringkat global,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here