Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi dianugerahkan kepada peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada RM340,000 kepada RM120,000 dalam kes saman terhadap Badan Peguam Malaysia dan dua pihak lain atas pelanggaran kewajipan statutori.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Dr Choo Kah Sing yang bersidang bersama-sama Datin Paduka Evrol Mariette Peters dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebulat suara membenarkan sebahagian rayuan Badan Peguam.

Sementara itu, panel berkenaan menolak rayuan Muhammad Shafee untuk menaikkan jumlah ganti rugi tersebut.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Choo berkata ganti rugi dan jumlah yang dituntut perlu dibuktikan berdasarkan fakta dan bukan sekadar andaian.

Beliau berkata walaupun terdapat tindakan Badan Peguam yang menyalahi undang-undang, perkara itu tidak secara automatik bermakna tindakan berkenaan dilakukan dengan niat jahat.

Badan Peguam merayu atas alasan jumlah ganti rugi dianugerahkan Mahkamah Tinggi adalah keterlaluan, manakala Muhammad Shafee memfailkan rayuan balas dengan berhujah bahawa jumlah diberikan tidak mencukupi serta mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan memberikan ganti rugi teladan.

Pada April tahun lepas, Mahkamah Tinggi menganugerahkan Muhammad Shafee RM200,000 bagi kehilangan reputasi dan kecederaan perasaan, RM100,000 bagi kehilangan peluang profesional, RM20,000 bagi tekanan mental dan kesan berkaitan kesihatan serta RM20,000 sebagai ganti rugi teruk.

Mahkamah Tinggi tidak memberikan ganti rugi teladan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan ganti rugi bagi kehilangan reputasi dan kecederaan perasaan daripada RM200,000 kepada RM100,000 serta mengekalkan ganti rugi teruk sebanyak RM20,000.

Mahkamah itu mengetepikan ganti rugi bagi kehilangan peluang profesional serta ganti rugi bagi tekanan mental dan kesan berkaitan kesihatan.

Pada Mac 2015, Muhammad Shafee menyaman Badan Peguam, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri VC George sebagai defendan. Ketika itu, Thomas dan George masing-masing masih menjalankan amalan guaman.

Muhammad Shafee mendakwa Thomas telah menerbitkan dan mengemukakan satu usul pada 28 Feb 2015 untuk dibahaskan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Badan Peguam Malaysia pada 14 Mac tahun sama, dengan usul itu disokong oleh George.

Usul berkenaan berkaitan penglibatan Muhammad Shafee dalam satu siri jelajah berhubung kes liwat yang mana beliau bertindak sebagai timbalan pendakwa raya secara ad hoc.

Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi menolak saman Muhammad Shafee dan beliau turut gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 11 Okt 2018, menyebabkan beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 20 Okt 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Muhammad Shafee dan memutuskan bahawa beliau berhak mendapat ganti rugi daripada Badan Peguam serta memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi taksiran ganti rugi.

Badan Peguam kemudian memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan itu, namun ditolak Mahkamah Persekutuan pada 19 Sept 2022.

Pada 14 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi menganugerahkan ganti rugi berjumlah RM340,000 kepada Muhammad Shafee selepas penaksiran ganti rugi yang perlu dibayar kepadanya.

Pada prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, Badan Peguam diwakili peguam Lambert Rasa-Ratnam dan Colin Yoong Shern Zian, manakala Muhammad Shafee mewakili dirinya sendiri bersama peguam Naresh Mayachandran.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here