Keratan media berhubung kejadian.

GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengambil serius aduan waris berhubung dakwaan seorang guru melakukan kekerasan fizikal terhadap seorang pelajar berusia sembilan tahun di sebuah sekolah dalam daerah Barat Daya.

JPN Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sejurus menerima aduan berkenaan, guru terbabit ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara teratur tanpa menjejaskan kebajikan murid serta persekitaran sekolah.

Menurut kenyataan itu, PPD kini menjalankan siasatan dengan mendapatkan keterangan daripada pihak berkaitan selain meneliti bukti dan dokumen sokongan.

“Pada masa yang sama, kebajikan dan kesejahteraan murid terus diberi keutamaan. Sokongan psikososial dan sesi kaunseling akan diberikan mengikut keperluan bagi membantu murid sepanjang tempoh ini,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pihak JPN Pulau Pinang tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan murid.

Bagaimanapun, katanya, proses siasatan akan dilaksanakan secara adil berdasarkan fakta dan keterangan yang diperoleh.

“Tindakan selanjutnya akan ditentukan berdasarkan dapatan siasatan serta peraturan dan tatakelola yang berkuat kuasa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

KPM digesa siasat dakwaan pelajar lebam dipukul guru

Terdahulu, Ketua Biro Aduan Gerakan negeri, Andrew Ooi mendedahkan kejadian itu selepas menerima aduan daripada ibu bapa kanak-kanak berkenaan pada Selasa lalu.

Katanya, berdasarkan aduan yang diterima, pelajar itu didakwa dipukul sehingga menyebabkan kesan lebam pada bahagian kiri badan serta lengannya.

“Saya telah hadir ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang hari ini bagi meminta siasatan yang sewajarnya berhubung kes berkenaan.

“Kami mahu ibu bapa menerima penjelasan yang jelas mengenai apa yang sebenarnya berlaku selain kebajikan dan keselamatan kanak-kanak itu dilindungi sepanjang siasatan.

“Paling penting, kami mahu memastikan kanak-kanak dan keluarganya tidak berdepan sebarang bentuk tindakan balas, intimidasi atau diskriminasi kerana tampil membuat aduan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here