KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mempertimbangkan insentif khas bagi atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, dari 19 Sept hingga 4 Okt.
Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan memaklumkan badan induk sukan berkenaan membuat keputusan itu dalam usaha menyuntik semangat pemain untuk berjaya di pentas antarabangsa.
“Sukan Asia pula tinggal beberapa hari lagi. Sudah 20 tahun kita menunggu emas badminton. BAM akan mempertimbangkan insentif khas sekiranya pemain kita berjaya membawa pulang emas dari Aichi-Nagoya.
“Kami buat apa yang perlu untuk beri pemain kita peluang terbaik untuk berjaya,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata BAM turut menaikkan 100 peratus hadiah wang tunai bagi semua kejohanan kebangsaan mulai tahun depan, termasuk kejohanan remaja untuk memberikan lebih banyak insentif kepada pemain dan menjadikan kejohanan tempatan lebih kompetitif.
“Hadiah berganda, semangat pun kena berganda… Kami juga sedang mencari Pengarah Sains Sukan dan Perubatan sepenuh masa supaya pemain mendapat sokongan yang lebih menyeluruh, daripada prestasi dan pemulihan hingga penjagaan kesihatan.
“Bagi pembangunan bakat pula, pemain berusia 16 tahun ke atas yang layak dalam acara perseorangan dan beregu kini perlu memilih satu laluan untuk diberi fokus sepenuhnya. Pada masa sama, lebih banyak peluang dapat dibuka kepada pemain lain,” katanya.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas badminton pada Sukan Asia adalah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam acara beregu lelaki di Doha 2006 manakala pada edisi Hangzhou 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membawa pulang gangsa.
Badminton adalah antara sukan berpotensi menyumbang pingat kepada Malaysia yang menyasarkan enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa di Aichi-Nagoya.- BERNAMA
















