Andrew Chen Kah

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) perlu mengkaji semula syarat baharu yang mewajibkan peniaga di di daerah ini memasang tiga unit kamera litar tertutup (CCTV) untuk perbaharui lesen perniagaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng berkata, langkah itu wajar ditimbangkan semula kerana membebankan peniaga khususnya golongan peniaga kecil kerana kosnya perlu ditanggung mereka.

Sehubungan itu, Ketua Pengimbang Johor itu mencadangkan agar MBJB mempertimbangkan perkara-perkara seperti memberi tempoh peralihan yang munasabah serta mengkaji semula bayaran lesen perniagaan. Berikan tempoh persediaan dan pelaksanaan yang lebih panjang kepada para peniaga, di samping mempertimbangkan pengurangan atau pelarasan bayaran lesen perniagaan.

MBJB juga perlu memastikan bekalan CCTV yang memenuhi spesifikasi diperlukan ini adalah mencukupi dari pihak pembekal bagi mengelak kekurangan bekalan, kenaikan harga atau monopoli harga akibat permintaan secara mendadak.

Akses kepada rakaman CCTV antara MBJB dan premis-premis berkaitan perlu diperkasa secara lebih telus agar pihak berkuasa serta orang awam yang mempunyai kepentingan yang sah dapat memperoleh rakaman bagi tujuan rasmi, khususnya melibatkan kes jenayah, kecurian, kemalangan dan ancaman keselamatan.

Tiada pihak seharusnya boleh menolak permohonan secara sewenang-wenangnya.

Sebaliknya, satu prosedur yang jelas dan seragam perlu diwujudkan, termasuk syarat kelayakan, tatacara permohonan, tempoh penyimpanan rakaman dan perlindungan privasi.

Langkah ini penting bagi memastikan orang awam yang terkesan mempunyai akses yang sewajarnya kepada bukti berkaitan, sekali gus memperkukuh ketelusan, keselamatan dan keadilan kepada masyarakat.

Kedua menyediakan subsidi pemasangan CCTV bagi peniaga kecil. Difahamkan, kos bagi satu set CCTV yang memenuhi spesifikasi berkenaan termasuk sistem penyimpanan dan kelengkapan berkaitan bernilai sekurang-kurangnya RM3,000. Bagi kedai runcit kecil, perniagaan keluarga dan perusahaan mikro dan ia merupakan kos tambahan yang besar.

Sekiranya pemasangan CCTV sebagai langkah penting bagi tujuan keselamatan komuniti, maka penyediaan subsidi berperingkat, bantuan pemasangan atau sokongan kewangan lain perlu dikaji semula.

Usaha memperkukuh keselamatan bukanlah tanggungjawab peniaga semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama.

Spesifikasi dasar semasa MBJB itu adalah menetapkan bahawa premis perniagaan di tingkat bawah perlu memasang sekurang-kurangnya tiga unit CCTV, termasuk kamera yang menghadap bahagian hadapan dan belakang premis.

Spesifikasi peralatan yang berkaitan merangkumi kamera rangkaian inframerah beresolusi 2K (4 megapiksel) serta sistem penyimpanan rakaman video.

Andrew berkata, atas pertimbangan keselamatan awam pihaknya menyokong usaha tersebut bagi meningkatkan liputan CCTV dalam usaha memperkukuh keselamatan dan keupayaan pencegahan kegiatan jenayah di daerah ini.

Namun sekiranya kos bagi pelaksanaan itu perlu ditanggung oleh para peniaga, khususnya peniaga kecil, kerajaan perlu menyediakan langkah sokongan yang lebih menyeluruh, munasabah dan inklusif bagi mendokong langkah keselamatan ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here