Ibu, Wong Lee Ping (tengah) dan bapa tiri, How Boon Chin kelihatan sebak ketika sidang media selepas hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada anaknya, Yap Shing Xuen yang maut akibat ditikam rakan sekolah ketika di Nirvana Centre, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Keluarga Yap Shing Xuen, 16, yang maut ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama tahun lalu menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan melepas dan membebaskan remaja lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh pelajar berkenaan.

Ibu mangsa, Wong Lee Ping berkata, keluarganya kini berusaha mendapatkan sokongan orang ramai termasuk menerusi petisyen dan rayuan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) supaya AGC meneliti semula keputusan berkenaan.

Menurutnya, keluarga menghormati mahkamah serta proses kehakiman namun mempunyai keterbatasan daripada segi tindakan undang-undang yang boleh diambil.

“Kami bukan hakim dan bukan pendakwa raya tetapi hanya sebuah keluarga yang kehilangan anak perempuan.

“Kami menghormati bahawa prosiding undang-undang mempunyai peraturannya dan kami menghormati mahkamah serta proses kehakiman,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.

Beliau berkata, sebagai keluarga mangsa, kemampuan untuk mengambil tindakan daripada segi undang-undang adalah terhad dan suara mereka perlu disampaikan bagi memastikan kebimbangan berhubung kes berkenaan didengari.

Lee Ping berkata, keputusan membebaskan tertuduh turut menimbulkan kebimbangan mengenai keadilan buat mangsa selain keselamatan pelajar lain di sekolah.

Pada masa sama, katanya, peguam juga mempunyai keterbatasan dalam membantu keluarga kerana keputusan sama ada rayuan perlu difailkan dan bagaimana ia perlu diteruskan akhirnya tertakluk kepada pihak pendakwaan serta proses undang-undang.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai individu prihatin, pengamal perundangan serta mereka yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam undang-undang jenayah dan prosiding rayuan tampil memberikan bantuan serta panduan sewajarnya.

“Kami tidak meminta sesiapa membuat keputusan awal berhubung kes ini.

“Kami hanya berharap AGC mempertimbangkan dengan serius untuk mengemukakan rayuan sekiranya terdapat ruang di sisi undang-undang dan suara seorang ibu yang kehilangan anak perempuannya akan didengari,” ujarnya lagi.

Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini melepas dan membebaskan remaja berkenaan selepas mendapati dia tidak siuman ketika kejadian Isnin lepas.

Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja itu ditahan atas perkenan Sultan Selangor di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk menjalani rawatan.

Tertuduh didakwa membunuh Shing Xuen di tandas perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4), Bandar Utama, Petaling Jaya antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here