Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak memerlukan perjanjian baharu atau new deal bagi melangkah ke hadapan kerana terma-terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara tersurat terus hidup dan kekal relevan serta mengikat.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, komitmen dan tanggungjawab yang digariskan dalam MA63 kekal terpakai dulu kini dan selamanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, perkara itu antara nilai dan makna yang perlu difahami sempena Sambutan Hari Malaysia ke-63 tahun ini khususnya berhubung sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Ini kerana hakikatnya terma-terma perjanjian secara tersurat menzahirkan MA63 itu tidak akan ternoktah sebaik tergubalnya Perlembagaan Persekutuan.

“MA63 itu terus hidup dan komitmen serta tanggungjawab yang digariskan itu kekal relevan dan mengikat dulu, kini dan selamanya,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Malaysia hari ini.

Armizan berkata, kefahaman mengenai sejarah kemerdekaan negara bukan sekadar memerlukan pemahaman terhadap Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kontrak sosial antara tiga kaum utama dan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

Sebaliknya, katanya, ia turut menuntut penerimaan sepenuhnya terhadap “sijil lahir Persekutuan Malaysia” itu sendiri iaitu MA63.

Beliau berkata, rakyat perlu bersama-sama memahami nilai dan makna Hari Malaysia dengan menerima kewujudan salah satu terma perjanjian yang dimeterai para pendiri tanah air seperti yang terpahat dalam Artikel VIII MA63.

“Terma tersebut merupakan penegasan kepada komitmen dan tanggungjawab semua pihak yang bersetuju memeterai perjanjian bagi membentuk sebuah Persekutuan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan Hari Malaysia perlu hadir bersama kefahaman dan penerimaan yang lebih meluas terhadap setiap episod serta lipatan sejarah pembentukan tanah air.

“Selama lebih 40 tahun sejak Malaysia ditubuhkan, 16 September tidak pernah diangkat sebagai detik keramat nasional.

“Setiap tahun tumpuan ketika itu hanyalah kepada 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan atau disebut juga sebagai Hari Kemerdekaan,” katanya.

Menurut beliau, angin perubahan kepada landskap politik nasional bermula apabila buat kali pertama dalam sejarah tanah air apabila Kerajaan Persekutuan yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum 2008 tidak mendapat majoriti dua pertiga.

“Antaranya kesedaran untuk lebih menilai dan memaknai aspirasi rakan kongsi di Wilayah Sabah dan Sarawak. Sungguhpun suara dan cadangan awal pihak tertentu dikesampingkan, akhirnya Kerajaan Persekutuan bersetuju dan Hari Malaysia disambut dan terpahat dalam takwim rasmi nasional bermula 2010,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini bukan sekadar keistimewaan angka 63/63 tetapi diharapkan nilai dan makna Sambutan Hari Malaysia hadir bersama kefahaman serta penerimaan yang lebih meluas tentang sejarah pembentukan negara.

“Moga Malaysia lebih utuh dan maju, tanah air yang makmur dan selamat untuk sekalian rakyatnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here