Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas polis menahan seorang lelaki warga India berusia lingkungan 30 tahun membawa kepada penemuan semula rantai emas yang disamun daripada seorang wanita warga asing di Cheras Business Centre, di sini, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner (SAC) Sazalee Adam berkata, kejadian dilaporkan mangsa, wanita warga asing berusia sekitar 30 tahun, kira-kira jam 8.01 malam, pada 30 Ogos lalu.

Menurutnya, mangsa mendakwa disamun seorang lelaki warga asing yang tidak dikenali di kawasan Cheras Business Centre, Kuala Lumpur.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melancarkan serbuan di sekitar ibu negara, kira-kira jam 6 petang, 1 September.

“Hasil serbuan, polis berjaya menahan seorang lelaki warga India berusia lingkungan 30 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sazalee berkata, hasil soal siasat terhadap suspek turut membawa kepada penemuan dan rampasan semula barang kes berupa rantai yang dipercayai disamun.

“Barang kes berkenaan dirampas di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan 1950,” katanya.

Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, manakala semakan lanjut mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek kini ditahan reman sehingga 20 September 2026 bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here