GEORGE TOWN – Persekolahan di Pulau Pinang kekal berjalan seperti biasa, namun semua aktiviti luar bilik darjah tidak dibenarkan buat masa ini berikutan keadaan jerebu.
Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Dziauddin Mat Saad berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan pemantauan dan mesyuarat pada jam 6 petang tadi.
“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), persekolahan akan berjalan seperti biasa dan tiada aktiviti luar bilik darjah buat masa sekarang.
“Kami akan pantau perkembangan semasa dan Bilik Gerakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masih memantau keadaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah beliau, berlaku penurunan satu mata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam selang masa satu jam di dua stesen iaitu Minden dan Balik Pulau berdasarkan kemas kini jam 7 petang tadi.
“Khidmat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) juga diminta untuk bimbing soal penjagaan kesihatan semasa cuaca jerebu,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Dziauddin berkata, keputusan sama ada melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) atau menangguhkan aktiviti luar bilik darjah bagi sekolah tertentu akan diputuskan berdasarkan trend bacaan IPU pada jam 6 petang.
Beliau berkata, pihaknya memantau rapi bacaan IPU setiap dua jam menerusi ‘War Room’ Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sejak 13 Ogos lalu dan pemantauan jam 7 pagi hari ini mendapati keempat-empat stesen bacaan IPU di negeri ini mencatatkan indeks melebihi 160.
“Tindakan penutupan sekolah secara khusus akan bergantung kepada stesen bacaan kawasan masing-masing yang secara keseluruhannya melibatkan 398 sekolah dan 237,000 pelajar di seluruh Pulau Pinang.
“Jika bacaan IPU mencecah 200, mengikut panduan Kementerian Pendidikan (KPM), penutupan sekolah dan PdPR akan dilaksanakan, manakala jika bacaan di bawah 200, aktiviti luar bilik darjah akan dihentikan serta-merta.
“Keputusan berkenaan dibuat mengikut kawasan stesen bacaan, dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan memaklumkan kepada pengetua atau guru besar sekolah yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette
















