KUALA LUMPUR – Semua rakyat Malaysia termasuk jemaah dilaporkan selamat dan keberadaan mereka dapat dipastikan, tanpa laporan mengenai rakyat Malaysia yang terkandas atau sebarang gangguan penerbangan susulan perkembangan terkini di Arab Saudi.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan pihaknya terus memantau rapat perkembangan di Arab Saudi, manakala Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah kekal berhubung rapat dengan rakyat Malaysia dan jemaah.
“Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Arab Saudi dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar digesa untuk mendaftar menerusi e-Konsular,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau maklumat lanjut boleh menghubungi Konsulat Jeneral menerusi talian +966 12 672 7740 dan +966 12 672 8019 atau melalui e-mel di [email protected].
Sementara itu, Malaysia turut memuji tindakan pantas dan berkesan yang diambil pihak berkuasa Arab Saudi dalam memastikan keamanan dan keselamatan Makkah, penduduk, pengunjung serta jemaah.
“Walaupun beberapa amaran keselamatan dikeluarkan di peringkat tempatan, kehidupan harian dan aktiviti ibadah jemaah diteruskan seperti biasa,” menurut kenyataan itu.
Sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dilancarkan kumpulan Houthi berhampiran Makkah pada Selasa ketika ketegangan dengan kumpulan itu meningkat, menurut laporan media antarabangsa. – BERNAMA
















