KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali mempersoalkan asas penurunan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, termasuk persoalan mengenai status Baginda antara 19 April hingga 3 Ogos lalu.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu berkata, persoalan itu perlu diperjelaskan kerana melibatkan Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), adat serta kedudukan institusi Raja.
“Apakah kesalahan Tuanku Muhriz sehingga Baginda hendak diturunkan daripada takhta? Perkara ini belum benar-benar dijawab.
“Jika ada alasan yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, jelaskan kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Menurut Sheikh Umar, persoalan itu menjadi lebih penting apabila wujud pendirian berbeza berhubung kesahan proklamasi bertarikh 19 April 2026.
Beliau berkata, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menyatakan dokumen 19 April itu tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kesan dari sudut undang-undang.
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Sembilan pada 16 September lalu menyatakan proklamasi penurunan takhta tersebut adalah sah, manakala tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos menjadikan proklamasi itu sempurna menurut Perkara 10(2) UUTKNS 1959.
Sehubungan itu, Sheikh Umar mempersoalkan bagaimana Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar boleh dipilih sebagai pengganti pada 19 April sekiranya proses penurunan takhta hanya dianggap sempurna selepas ditandatangani Menteri Besar pada 3 Ogos.
“Jika proses penurunan takhta hanya sempurna pada 3 Ogos, bagaimana pengganti boleh dipilih pada 19 April? Adakah pemilihan pengganti boleh dibuat sebelum jawatan Yang di-Pertuan Besar itu benar-benar kosong?
“Atau adakah keputusan pemilihan pada 19 April itu sendiri sudah mempunyai kesan perlembagaan pada tarikh tersebut?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan status kedudukan Tuanku Muhriz sepanjang tempoh 19 April hingga 3 Ogos lalu khususnya ketika Baginda masih menjalankan fungsi rasmi sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Katanya, antara perkara yang perlu dijelaskan ialah pelantikan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos 2026 yang berlangsung di hadapan Tuanku Muhriz sehari sebelum proklamasi berkenaan dikatakan menjadi sempurna.
“Jika hal ini pun sudah boleh dipertikaikan, apatah lagi kedudukan barisan Exco dan keseluruhan fungsi kerajaan negeri itu sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sheikh Umar menegaskan, penghormatan terhadap Adat Perpatih dan kedudukan Undang tidak bermaksud rakyat tidak boleh mempersoalkan bagaimana kuasa tersebut dilaksanakan berdasarkan undang-undang.
“Fakta dan prosesnya mestilah diperjelaskan. Menurunkan seorang raja bukan perkara kecil. Jika ada sebab yang kukuh, nyatakan. Jika prosesnya sah, jelaskan asasnya.
“Jika berlaku pertikaian, selesaikan melalui saluran undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, perkara tersebut penting bagi mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kemuliaan institusi Raja serta keyakinan rakyat terhadap undang-undang.
“Perkara ini semua termaktub dalam Perlembagaan. Bukan macam main pondok-pondok di belakang rumah!’ katanya. – MalaysiaGazette
















