Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir . Foto FAREEZ FADZIL, 24 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan masih lagi kekal dan sah.

Malah dokumen Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil. 6 Tahun 2026 bertarikh 16 September lepas sebagai tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

Lantaran itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan, perkara berkaitan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang terletak dalam bidang kuasanya seperti diperuntukkan Perkara XVI Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).

Tegasnya, Perkara XVI (3) UUTKNS 1959 turut menetapkan bahawa, nasihat Dewan mengenai persoalan berkenaan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi tersebut atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DKU Negeri Sembilan berkata, pihaknya mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 15 September lalu yang menegaskan, beliau tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Katanya, pendirian Menteri Besar itu adalah selaras dengan UUTKNS 1959 dan ketetapan Dewan termasuk bahawa kesahan serta kesan sesuatu proklamasi perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah termasuk penentuan kehakiman.

“Setakat mana dokumen bertarikh 16 September 2026 itu bertujuan mengesahkan penurunan takhta DYMM Tuanku Muhriz, mengiktiraf pemilihan seorang Yang di-Pertuan Besar yang baharu dan mengarahkan pelaksanaannya dengan serta-merta, ia menyentuh perkara yang berada di luar bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Ia juga bertentangan dengan ketetapan Dewan yang mengikat. Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” ujarnya.

Berhubung proklamasi bertarikh 19 April 2026, Dewan menegaskan semula pendiriannya bahawa dokumen tersebut cacat sejak awal dan terbatal.

Menurut Dewan, tiada siasatan seperti diperuntukkan di bawah Perkara X (1) UUTKNS 1959 pernah dilaksanakan, manakala tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi itu tidak memegang jawatan Undang pada tarikh berkenaan.

Katanya, berikutan keengganan Menteri Besar ketika itu untuk menandatangani proklamasi berkenaan, fungsi di bawah Perkara X (2) UUTKNS 1959 telah dilaksanakan sehingga proklamasi itu luput dan terbatal.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak boleh memulihkan kecacatan tersebut,” ujarnya.

DKU turut menyifatkan, sebarang proklamasi yang mendakwa memilih Yang di-Pertuan Besar baharu sebagai tidak sah sekiranya bersandar pada asas yang sama cacat serta ditandatangani oleh individu yang tidak memegang jawatan Undang secara sah.

Dalam pada itu, DKU menegaskan, prerogatif Undang Yang Empat hanya boleh dilaksanakan oleh Undang yang memegang jawatan secara sah serta mengikut syarat dan prosedur ditetapkan UUTKNS 1959.

“Pegawai kerajaan negeri tidak dikehendaki bertindak atas apa-apa arahan yang berasaskan dokumen bertarikh 5 September 2026 atau 16 September 2026.

“Bertindak atas dokumen-dokumen tersebut adalah bertentangan dengan UUTKNS 1959 dan ketetapan Dewan yang mengikat,” tambahnya.

DKU turut memaklumkan, perkara itu kini dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban dan terdapat perintah mahkamah yang masih berkuatkuasa.

Sehubungan itu, semua pihak diseru menghormati proses mahkamah serta menahan diri daripada mengambil sebarang langkah yang boleh memintas atau mengganggu prosiding berkenaan.

“Institusi adat Negeri Sembilan termasuk institusi Yang di-Pertuan Besar dan institusi Undang, bukan milik mana-mana parti atau individu tetapi merupakan amanah bagi semua anak buah dan waris.

“Dewan menyeru semua pihak supaya menjunjung UUTKNS 1959, menghormati bidang kuasa dan ketetapan Dewan serta menyelesaikan sebarang pertikaian menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here