KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya bertindak seolah-olah mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak wajar diperkenankan atau sebaliknya, tegas Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara berkaitan pengampunan bukan sesuatu yang boleh diputuskan menerusi kenyataan politik atau perbicaraan di media sosial, sebaliknya perlu dihormati mengikut proses yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menyediakan proses melalui Lembaga Pengampunan dan proses berkenaan wajib dihormati semua pihak.
“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan suatu proses yang jelas melalui Lembaga Pengampunan dan proses inilah yang wajib dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahdzir berkata, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan, mensabitkan dan menjatuhkan hukuman, manakala Jabatan Penjara bertanggungjawab melaksanakan hukuman tersebut.
“Selepas sabitan dan hukuman, Perlembagaan menyediakan suatu proses yang tersendiri bagi mempertimbangkan permohonan pengampunan.
“Justeru, permohonan pengampunan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah suatu penolakan terhadap keputusan mahkamah. Ia bukan perbicaraan semula dan bukan juga rayuan politik. Ia merupakan hak untuk memohon pertimbangan melalui saluran sah yang disediakan oleh Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang berteraskan ihsan bagi mengimbangi neraca keadilan selepas proses undang-undang selesai.
Sehubungan itu, katanya, tiada parti politik berhak mendahului atau cuba mempengaruhi pertimbangan berkenaan dengan menentukan lebih awal siapa yang layak atau tidak layak menerima pengampunan.
“Lebih mendukacitakan apabila terdapat pemimpin dan penyokong PH yang secara terbuka mendesak supaya permohonan Datuk Seri Najib tidak diperkenankan.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja mendahului proses Lembaga Pengampunan malah boleh dilihat sebagai cubaan memberikan tekanan politik terhadap suatu pertimbangan yang sepatutnya berlangsung secara bebas dan tertib,” katanya.
Mahdzir berkata, Malaysia berdiri atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, justeru Perlembagaan perlu dihormati tanpa mengira parti atau individu yang terlibat.
“Perlembagaan tidak berubah mengikut warna parti atau nama individu,” katanya.
Beliau berkata, UMNO Kedah akan terus menjunjung institusi Raja-Raja Melayu serta menghormati apa-apa keputusan yang dibuat selaras dengan kerangka Perlembagaan. – MalaysiaGazette
















