PUTRAJAYA – Orang ramai tidak perlu bimbang untuk menukar MyKad kepada versi baharu kerana pertukaran itu tidak menjejaskan penerimaan bantuan atau subsidi kerajaan.
Pengarah Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asraf Sukadi berkata, MyKad generasi baharu masih boleh digunakan bagi urusan bantuan dan subsidi kerajaan yang memerlukan kad pengenalan sebagai medium pengesahan dan penebusan.
Pertukaran MyKad juga tidak mengubah nombor kad pengenalan dan maklumat peribadi pemegang kerana ia berdasarkan rekod rasmi JPN serta tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa.
“Pada masa sama, MyKad generasi baharu juga kekal sebagai dokumen pengenalan diri rasmi rakyat Malaysia dan boleh digunakan untuk urusan kerajaan, tertakluk kepada keperluan agensi berkenaan,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Mengulas kebimbangan mengenai baki Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selepas menerima MyKad generasi baharu, Muhammad Asraf berkata, baki dan kelayakan penerima tidak disimpan dalam kad pengenalan.
Sebaliknya maklumat berkenaan direkodkan dalam sistem SARA, manakala MyKad digunakan sebagai medium pengesahan penerima serta untuk membuat pembelian barangan keperluan asas di kedai atau pasar raya yang mengambil bahagian.
“Oleh itu, pertukaran kepada MyKad baharu tidak bermaksud baki atau kelayakan SARA akan hilang. Rekod baki dan kelayakan penerima akan terus dirujuk melalui sistem SARA,” katanya.
Dalam perkembangan sama kemudahan Touch ’n Go tidak lagi disediakan dalam MyKad generasi baharu.
Pengguna yang mahu terus menggunakan perkhidmatan berkenaan boleh menggunakan Touch ’n Go eWallet atau kad Touch ’n Go berasingan.
Untuk rekod, JPN mula mengeluarkan MyKad versi baharu hari ini yang dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri sebelum ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Orang ramai teruja terima MyKad baharu, ada sanggup ambil cuti
















