KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia awal 20-an yang didakwa menyerang anggota polis menggunakan pisau ketika ditahan di kawasan Chan Sow Lin pada 10 September lalu didapati positif dadah jenis ketamin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya mengesahkan kejadian berkenaan susulan satu laporan polis yang dibuat pada kira-kira 3.45 petang, 10 September lalu.
Suspek yang merupakan seorang wanita Melayu itu ditahan di kawasan Chan Sow Lin bagi membantu siasatan.
“Semasa proses tangkapan dilakukan, suspek bertindak agresif dengan mengambil sebilah pisau dan menyerang anggota tangkapan yang sedang bertugas.
“Hasil semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau. Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek pula disahkan positif dadah jenis ketamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosdi berkata, suspek direman selama empat hari bermula 11 hingga 14 September lalu bagi membantu siasatan.
“Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan pada 14 September 2026” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Jika sabit kesalahan, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Sementara itu, Seksyen 186 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan fungsi jawatannya. – MalaysiaGazette
















