MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengingatkan ibu bapa agar tidak mengambil jalan mudah dengan memindahkan kasih sayang anak-anak kepada teknologi untuk menyelesaikan urusan kehidupan harian.
Tegas beliau, ibu bapa perlu mengasuh anak dengan nilai-nilai murni yang boleh membentuk keperibadian mulia.
“Kita tidak boleh bergantung penuh mengharapkan bahawa kecerdasan buatan atau AI ini untuk mengasuh anak kita pada masa depan.
“Jangan pindahkan kasih sayang kita kepada peranti telefon bimbit atau tablet yang ada ditangan kita. Sekarang bila anak menangis kita bagi peranti, anak pun diam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Powering Knowledge Stem Discovery@School 2026 di Sekolah Kebangsaan Tanjong Bidara sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini hari ini.
Dalam ucapannya itu, Ab Rauf melahirkan kebimbangan dengan sikap ibu bapa masa kini yang mahu hidup selesa dengan menyerahkan segala-galanya kepada teknologi.
“Jangan jadikan sikap sedemikian sebagai eksperimen hidup.
“Nanti anak-anak itu apabila dewasa dan ibu bapa sudah tua, mereka akan letakkan ibu bapa dalam bilik yang dipasang litar televisyen tertutup (CCTV) dan mereka akan pantau kita menggunakan peranti itu.
“Kemudian mereka akan bagi peranti seperti telefon bimbit atau tablet kepada ibu bapa pula,” ujarnya.
Kata beliau, sikap yang diamalkan sebahagian ibu bapa itu jauh berbeza dengan ibu bapa masa lalu dalam mengasuh anak-anak.
Ab Rauf menceritakan bagaimana bapanya dahulu yang mengajarnya cara kehidupan sebenar yang membentuk peribadinya hari ini.
“Dulu selepas balik sekolah ayah saya suruh saya memotong rumput untuk bagi lembu makan. Sebelah petang pergi sekolah agama dan selepas balik sekolah agama bawa kambing masuk kandang.
“Sebelah malam pula pergi mengaji al-Quran dan selepas balik mengaji baru makan malam,’ katanya.
Sehubungan itu tegasnya, ibu bapa perlu bijak menggunakan teknologi untuk mengurus kehidupan dan bukan bergantung sepenuhnya kepada kemudahan itu. – MalaysiaGazzette
















