GAZA – Angka kematian akibat runtuhan sebuah bangunan kediaman di barat Bandar Gaza meningkat kepada 21 orang termasuk 11 kanak-kanak dan enam wanita, manakala lebih 25 orang lagi cedera, menurut kenyataan pegawai tempatan dan penduduk pada Rabu, lapor Xinhua.
Bangunan enam tingkat Al-Saada, yang sebelum ini rosak akibat serangan udara Israel, ranap pada awal pagi Rabu berhampiran ibu pejabat Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), menurut jurucakap pertahanan awam, Mahmoud Basal.
Bangunan itu menempatkan kira-kira 100 pelarian, menurut penduduk setempat.
Basal berkata pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 45 orang dan mengeluarkan 21 mayat dalam operasi yang berlangsung selama 16 jam.
Seramai 35 orang lagi berjaya menyelamatkan diri, tambahnya.
Puluhan anggota keluarga yang berdukacita berkumpul di puing bangunan itu, dengan sebahagian daripada mereka cuba menggali runtuhan menggunakan tangan kosong.
Louay al-Ajla, 54, kehilangan hampir 10 ahli keluarganya dalam kejadian itu. “Saya mendapat berita pada waktu subuh. Ia satu tamparan hebat yang menyayat hati,” kata al-Ajla.
Pihak berkuasa Palestin menyalahkan Israel kerana menyekat kemasukan jentera berat dan peralatan yang diperlukan untuk usaha menyelamat.
Pejabat media kendalian Hamas di Gaza dalam satu kenyataan mendakwa lebih 8,500 orang yang “hilang” masih tertimbus di bawah runtuhan di seluruh Semenanjung Gaza akibat kesukaran membawa masuk jentera berat dan peralatan menyelamat, sambil menyifatkan ribuan bangunan yang rosak itu sebagai “bom jangka.”
Basal menambah lebih 2,000 bangunan kediaman berisiko runtuh menjelang musim sejuk.
Beliau menggesa pihak yang dipanggil “Lembaga Keamanan” dan negara-negara penjamin gencatan senjata supaya memudahkan kemasukan peralatan, serta memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya “bencana besar dalam masa terdekat.”
Kejadian runtuhan itu berlaku di tengah-tengah pelanggaran gencatan senjata yang berterusan, tanpa sebarang kemajuan dalam rundingan antara Hamas dan Israel walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Oktober 2025.- BERNAMA-XINHUA
















