KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menafikan pernah menandatangani dokumen berkaitan perintah tahanan rumah yang dikaitkan dengan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi hantaran di media sosialnya malam tadi, Hannah menggesa penyebaran dokumen palsu itu dihentikan selain memaklumkan Setiausaha Akhbarnya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu.
“Saya tidak pernah menandatangani perintah tahanan rumah seperti yang sedang tular di media sosial.
“Lembaga Pengampunan masih belum bersidang. Tolong jangan sebarkan dokumen palsu ini. Setiausaha Akhbar saya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial dokumen yang mendakwa Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan telah bersetuju supaya Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
Dokumen berkenaan yang turut memaparkan imej didakwa sebagai mohor diraja, mendakwa Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersetuju supaya Najib diberikan pengampunan.
Ia turut mendakwa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan memerintahkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah di kediamannya.
Selain itu, dokumen sama mendakwa Najib masih perlu membayar semua denda yang dikenakan terhadapnya dan akan dikenakan tambahan hukuman penjara setahun jika gagal berbuat demikian.
Dokumen itu tersebar ketika media melaporkan Lembaga Pengampunan dijangka bersidang semula hari ini untuk mempertimbangkan permohonan Najib iaitu seminggu selepas perkara tersebut ditangguhkan.
Pada 11 September lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menangguhkan pertimbangan permohonan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang. – MalaysiaGazette
















