APAKAH tujuan sebenar sesebuah perniagaan? Adakah ia hanya boleh diukur berdasarkan jumlah keuntungan yang diperoleh?
Tidak dinafikan bahawa keuntungan penting untuk memastikan sesebuah perniagaan terus beroperasi. Namun, dalam keadaan dunia yang berdepan dengan pelbagai cabaran seperti kemiskinan, ketidaksamaan sosial, dan kemerosotan alam sekitar, peranan perniagaan tidak seharusnya terhad kepada menjana keuntungan semata-mata.
Di sinilah konsep perusahaan sosial semakin mendapat perhatian.
Perusahaan sosial bukan sekadar mengejar keuntungan, tetapi didorong oleh matlamat untuk menghasilkan perubahan yang positif kepada masyarakat, komuniti dan alam sekitar. Berbeza dengan perniagaan konvensional yang lazimnya meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama, perusahaan sosial turut memberi penekanan kepada impak yang dihasilkan terhadap masyarakat.
Perusahaan Sosial di Malaysia
Di Malaysia, pembangunan perusahaan sosial diselaraskan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030). Rangka ini bertujuan membangunkan ekosistem perusahaan sosial yang lebih tersusun, dan menjadikan perusahaan sosial sebagai penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Menurut portal rasmi KUSKOP, setakat Ogos 2026 terdapat 36 perusahaan sosial yang telah diakreditasi (accredited), 309 perusahaan sosial asas (basic), dan 240 perusahaan sosial tunas (aspiring). Secara keseluruhannya, terdapat 585 perusahaan sosial pada ketiga-tiga tahap pengiktirafan tersebut.
Kewujudan sistem pengiktirafan ini penting kerana tidak semua perniagaan yang menjalankan aktiviti kebajikan boleh dianggap sebagai perusahaan sosial.
Perusahaan sosial perlu mempunyai matlamat sosial yang jelas, di samping model perniagaan yang lestari. Dengan kata lain, aktiviti sosial tidak seharusnya hanya bergantung kepada sumbangan atau tanggungjawab sosial korporat secara bermusim, tetapi perlu menjadi sebahagian daripada cara organisasi tersebut beroperasi dan menjana pendapatan.
Berdasarkan SEMy2030, kerajaan menetapkan beberapa sasaran menjelang 2030, termasuklah:
- 10,000 perusahaan sosial berdaftar;
- 45% perusahaan sosial berdaftar diakreditasi;
- nilai perolehan perusahaan sosial sebanyak RM2.6 bilion; dan
- 95,000 peluang pekerjaan diwujudkan oleh perusahaan sosial berdaftar.
Sasaran ini menunjukkan bahawa perusahaan sosial bukan lagi dilihat sebagai aktiviti kebajikan berskala kecil, sebaliknya berpotensi menjadi sebahagian daripada pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Manfaat Pengiktirafan
Pengiktirafan kerajaan memberi beberapa manfaat penting. Perusahaan sosial yang diiktiraf KUSKOP mempunyai kredibiliti dan meningkatkan keterlihatan di pasaran, sekali gus memudahkan pelanggan, pelabur, kerajaan dan rakan strategik mengenal pasti perusahaan yang mempunyai misi sosial.
Selain itu, pengiktirafan juga membuka akses kepada pembiayaan dan pelbagai program pembangunan. Melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), sebanyak RM5 juta telah dilaburkan sejak 2022 bagi memperkukuh ekosistem perusahaan sosial. Sehingga Mei 2026, seramai 3,875 peserta telah mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif tersebut.
Sokongan kerajaan juga semakin berkembang daripada sekadar pembiayaan kepada insentif fiskal. Mulai 2026, perusahaan sosial yang memenuhi syarat boleh memohon pengecualian cukai pendapatan sehingga tiga tahun taksiran.
Namun, manfaat ini datang bersama tanggungjawab. Perusahaan yang menerima pengecualian perlu membuktikan bahawa mereka benar-benar menjalankan aktiviti perniagaan, menghasilkan impak sosial atau alam sekitar dan menyalurkan sekurang-kurangnya 51 peratus keuntungan kepada misi sosial atau alam sekitar.
Kini, persoalannya bukan lagi sama ada Malaysia mengiktiraf perusahaan sosial, tetapi sama ada kita mampu membina perusahaan sosial yang boleh bertahan dan berkembang.
Cabaran Perusahaan Sosial
Seperti perniagaan lain, perusahaan sosial perlu mempunyai pelanggan, menjana pendapatan, mengurus kos dan memastikan operasi dapat diteruskan. Namun, mereka berhadapan dengan cabaran yang lebih kompleks kerana mereka juga perlu mengimbangi kelangsungan perniagaan dengan matlamat untuk menghasilkan impak sosial atau alam sekitar.
Perusahaan sosial memerlukan pengurusan yang baik, serta model perniagaan yang jelas. Pada masa yang sama, mereka perlu memahami kumpulan sasaran yang ingin dibantu dan memastikan penyelesaian yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan mereka.
Akses kepada pembiayaan dan pasaran merupakan antara perkara penting bagi memastikan perusahaan sosial dapat berkembang. Cabarannya adalah bagaimana mendapatkan sumber kewangan yang mencukupi, dan adakah impak yang dihasilkan benar-benar berlaku?
Justeru, kejayaan perusahaan sosial tidak seharusnya diukur melalui keuntungan semata-mata, tetapi juga melalui sejauh mana matlamat sosial yang ditetapkan benar-benar tercapai.
Teknologi Membuka Peluang Baharu
Perkembangan teknologi kewangan (financial technology atau fintech) membuka ruang kepada pendekatan baharu dalam pembiayaan dan pengurusan transaksi.
Selain pembiayaan konvensional, perusahaan sosial kini berpotensi meneroka pendekatan seperti crowdfunding, pembayaran digital, blockchain dan smart contract.
Crowdfunding, misalnya, membolehkan perusahaan sosial mendapatkan dana dan membina komuniti penyokong di sekeliling sesuatu misi sosial. Blockchain pula berpotensi meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan transaksi, manakala smart contract boleh digunakan untuk melaksanakan transaksi berdasarkan syarat yang telah dipersetujui secara automatik.
Sebagai contoh, Funding Societies, sebuah platform pembiayaan digital, telah menyediakan pembiayaan peer-to-peer (P2P) kepada perusahaan sosial melalui skim MyCIF Social Enterprise. Perusahaan sosial yang telah mendapat akreditasi berpeluang menikmati sehingga 50 peratus pengecualian kos pembiayaan bagi permohonan pembiayaan perniagaan. Skim ini turut disokong oleh RM10 juta peruntukan kerajaan di bawah Belanjawan 2020 bagi tujuan pelaburan bersama dalam kempen P2P perusahaan sosial.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa fintech boleh menjadi lebih daripada sekadar kemudahan pembayaran. Ia berpotensi menjadi saluran pembiayaan alternatif yang menghubungkan perusahaan sosial dengan sumber modal secara lebih fleksibel.
Jika digunakan secara bertanggungjawab, teknologi bukan sahaja boleh menjadi alat untuk mendapatkan pembiayaan, tetapi juga membantu perusahaan sosial mengurus transaksi, membina kepercayaan dan menunjukkan bagaimana sumber yang diterima digunakan untuk menghasilkan impak.
Mungkin inilah masanya kita melihat perniagaan bukan sekadar sebagai mekanisme untuk mencipta keuntungan, tetapi sebagai satu platform untuk menghasilkan perubahan kepada masyarakat. Inilah semangat yang ingin diketengahkan melalui pembangunan perusahaan sosial di Malaysia. Kerana pada akhirnya, kejayaan sesebuah perniagaan bukan hanya tentang berapa banyak keuntungan yang diperoleh, tetapi juga tentang berapa banyak perubahan yang mampu dihasilkan.

Oleh: Dr. Putri Aliah Mohd Hidzir
Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis
















