KUALA LUMPUR – Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak melayan desakan UMNO dalam Perhimpunan Agungnya supaya Dewan Rakyat dibubarkan lebih awal disifatkan sebagai tindakan bijak dan matang.
Menurut Peguambela dan Peguamcara, Dr. Zulqarnain Lukman, penggal Dewan Rakyat masih berbaki lebih setahun sebelum terbubar secara automatik pada November 2027.
Jelas beliau lagi, keadaan itu bermakna Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) masih boleh diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2028.
Katanya, tempoh berbaki itu wajar dimanfaatkan Perdana Menteri untuk menyempurnakan agenda reformasi institusi yang masih belum dilaksanakan.
“Dalam tempoh berbaki ini adalah mustahak untuk Perdana Menteri menyempurnakan agenda reformasi institusi yang masih belum dilaksanakan seperti penggubalan akta mengehadkan tempoh dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri.
“Selain itu, adalah mustahak juga bagi Anwar membetulkan tatakelola di agensi berkaitan kerajaan seperti Lembaga Tabung Haji dan FELDA dan mengembalikan institusi ini ke landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulqarnain berkata, usaha membetulkan tatakelola berkemungkinan memerlukan pindaan terhadap Akta Tabung Haji dan FELDA.
Katanya, institusi berkaitan bumiputera termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan universiti awam khususnya Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga perlu melalui proses reformasi bagi memastikan matlamat penubuhannya tercapai.
“Jika Dewan Rakyat dibubarkan sekarang dikhuatiri mana-mana Perdana Menteri lain tidak mempunyai keberanian seperti Perdana Menteri untuk melaksanakan reformasi tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, BN-UMNO tidak mampu menekan Perdana Menteri untuk mengadakan pembubaran awal sekiranya parti gabungan dari Sabah dan Sarawak kekal menyokong Anwar.
“Tambahan lagi, BN-UMNO tidak mampu untuk menekan Perdana Menteri bagi pembubaran awal sekiranya parti gabungan Sabah dan Sarawak berdiri teguh di belakang Perdana Menteri,” katanya.
Pada masa sama, Zulqarnain berkata, BN-UMNO ketika ini kelihatan yakin untuk memenangi PRU-16 tanpa PH susulan kemenangan dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Meskipun begitu, dalam tempoh berbaki ini memberikan peluang kepada Anwar untuk mengembalikan keyakinan kepada semua rakyat bahawa beliau sudah berbuat sehabis baik untuk kebaikan rakyat.
“Dalam pada itu, adalah mustahak untuk Perdana Menteri menyemak kembali sistem komunikasi kerajaan supaya segala pencapaian kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengemukakan dua pilihan, sama ada mengadakan PRU-16 dengan segera atau mengeluarkan Barisan Nasional (BN) daripada gabungan Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette
















