KUANTAN – Siasatan lanjut masih dijalankan susulan insiden yang membawa kepada penahanan lima individu Orang Asli dalam kejadian di kawasan Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera baru-baru ini.
Menurut Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayub, kesemua mereka yang terdiri daripada empat perempuan dan seorang lelaki itu sudah dibebaskan dengan jaminan pihak polis semalam.
“Apabila penghadang atau halangan tersebut diletakkan secara bersendirian, ia secara langsung menghalang penjawat awam dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
“Jadi, disebabkan itu kita buka siasatan di bawah Seksyen 186 kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.
Beliau dalam masa sama menasihati masyarakat yang menetap di sekitar kawasan terbabit agar memberi kerjasama terhadap pegawai penguatkuasa dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam agar kejadian sama tidak berulang.
“Dapatkan fakta yang betul mengenai insiden tersebut. Berilah kerjasama kepada agensi penguatkuasaan dalam menjalankan tanggungjawab mereka membuat pengukuran semula di tapak tanah hutan simpan tersebut,” tambahnya lagi.
Media sebelum ini melaporkan kejadian itu berlaku kira-kira 10 pagi pada 15 September lepas ketika Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama beberapa agensi, antaranya Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan operasi penguatkuasaan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 di kawasan terbabit.
Ketua Polis Daerah Bera Superintenden Zulkiflee Nazir dilaporkan berkata, semasa operasi berkenaan, sekumpulan individu didapati mendirikan halangan dan membuat provokasi terhadap sepasukan penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Lima Orang Asli ditahan halang penguat kuasa jalankan tugas di hutan simpan
















