Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan upacara pecah tanah simbolik pembinaan Balai Nelayan Baharu Pasir Gembur pada Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Tanjung Bidara di Pengkalan Balak. Foto AIMAN RIZAL, 16 SEPTEMBER 2026.

MELAKA – Impian 27 nelayan di Pasir Gembur, Tanjung Bidara di sini memiliki sebuah balai nelayan yang lebih moden dan sistematik sejak 10 tahun lalu, akhirnya menjadi realiti.

Lebih manis lagi, nelayan kawasan terbabit turut dibekalkan dengan peranti teknologi sistem penentu kedudukan global (GPS).

Beberapa nelayan yang ditemui menyifatkan pembinaan balai nelayan dan kemudahan peranti GPS itu sebagai inovasi kepada golongan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pasir Gembur, Rosli Othman berkata, balai nelayan bernilai RM270,000 yang dilengkapi pelbagai kemudahan itu dijangka siap sepenuhnya pada 30 Oktober ini.

Menurutnya, sebelum ini keadaan nelayan di kawasan itu kurang tersusun apabila bot-bot mereka tiada kawasan yang khas untuk berlabuh.

“Ini satu inovasi yang mahu dibangunkan oleh kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf terhadap golongan nelayan di Tanjung Bidara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat pembinaan balai nelayan baharu Pasir Gembur pada siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di sini.

Pada majlis sama, Ab Rauf turut menyerahkan insentif berupa peranti GPS kepada 27 nelayan kawasan itu.

Seorang lagi nelayan, Mustaffa Che Man, 60, berkata, pembinaan baharu balai nelayan itu memberi sinar kepada nelayan kawasan terbabit untuk menggiatkan lagi aktiviti penangkapan ikan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyampaikan sumbangan kebajikan kepada komuniti nelayan tempatan sempena Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Tanjung Bidara.

“Kemudahan ini akan memberi lebih keselesaan kepada nelayan Pasir Gembur untuk menjalankan aktiviti harian mereka,” jelasnya.

Rakannya, Mohd Fazli Baba, 43, pemberian peranti GPS akan banyak membantu nelayan untuk mengesan kawasan yang mempunyai banyak ikan.

Selain itu katanya, alat berkenaan dapat mengelak nelayan daripada sesat di tengah laut.

“Saya sendiri pernah sesat hingga ke Pantai Puteri dan Pulau Besar kerana tiada alat GPS untuk menentukan haluan untuk pulang.

“Dengan adanya peranti GPS ini akan memudahkan kami mengesan Ikan dan mengesan balai nelayan kami,” jelasnya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here