KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh terus berselindung di sebalik alasan kestabilan politik dan Kerajaan Perpaduan untuk menangguhkan reformasi institusi yang dijanjikan kepada rakyat.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebaliknya mendesak baki penggal pentadbiran dimanfaatkan untuk melaksanakan perubahan sebenar termasuk memperkukuh kebebasan bersuara dan institusi semak dan imbang serta memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara bebas daripada campur tangan eksekutif.
Menurut MUDA, agenda reformasi tidak seharusnya terus menjadi slogan politik sedangkan rakyat menunggu perubahan terhadap institusi dan undang-undang yang berkaitan dengan tadbir urus negara.
“Saki baki penggal yang ada ini gunakan untuk laksanakan reformasi institusi yang dijanjikan atas pentas ceramah.
“Kerajaan tidak boleh terus memberikan alasan terikat dengan rakan komponen atau birokrasi, kerana laungan reformasi inilah yang menjadi modal kempen selama berdekad lamanya. Rakyat mahu melihat tindakan politik, bukan sekadar retorik kosong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MUDA berkata, antara reformasi yang perlu diberi keutamaan ialah meminda atau memansuhkan akta yang didakwa menyekat kebebasan awam serta memperkukuh kebebasan institusi kritikal negara.
“Perkasakan kebebasan bersuara, institusi semak imbang serta mansuhkan serta perbetulkan rang undang-undang drakonian yang kolot.
“Institusi kritikal seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara mesti dipisahkan dan dijamin kebebasannya secara mutlak daripada campur tangan eksekutif.
“Akta-akta lapuk yang menyekat kebebasan awam wajib dipinda atau dihapuskan segera tanpa dolak-dalik,” katanya.
Dalam pada itu, MUDA mempersoalkan sama ada pembentukan kesepakatan politik dalam Kerajaan Perpaduan telah menyebabkan agenda reformasi asal diketepikan demi mengekalkan kestabilan politik.
“Sekarang apakah hasil dari kesepakatan ini? Adakah gabungan politik yang dibentuk ini sekadar berfungsi sebagai pelampung keselamatan untuk mengekalkan kelangsungan elit politik tertentu, sementara agenda reformasi yang sebenar dikorbankan dan dibiarkan sepi?” katanya.
MUDA turut mengingatkan antara asas sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu ialah janji untuk melawan rasuah, salah guna kuasa dan kleptokrasi.
MUDA turut memberi amaran terhadap kemungkinan kegagalan melaksanakan agenda berkenaan menjejaskan legasi Anwar sebagai pemimpin yang sebelum ini membawa gagasan reformasi.
“Kelak takut legasi Anwar Ibrahim ialah bapa penyelamat kleptokrat. Jika kegagalan melaksanakan reformasi ini berterusan, sejarah tidak akan mengenang beliau sebagai wira reformasi yang diangkat oleh rakyat sebaliknya sebagai pemimpin yang sanggup menggadaikan prinsip demi kuasa dan akhirnya membiarkan amalan kleptokrasi terus bernafas,” katanya. – MalaysiaGazette
















