Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Adalah tidak wajar untuk menggambarkan pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai tindakan `mengatasi undang-undang’.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kuasa pengampunan bukanlah kuasa di luar undang-undang, sebaliknya merupakan kuasa yang diperuntukkan secara nyata oleh Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong serta menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan.

Tambahnya, keputusan kehakiman dan proses pengampunan pula adalah perkara yang berbeza, yang mana mahkamah menjalankan fungsi kehakiman dalam menentukan kesalahan dan hukuman.

Sementara itu, ujarnya, Perkara 42 pula menyediakan mekanisme perlembagaan berhubung pengampunan, tunda hukuman atau lega hukuman.

“Kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam yang menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang mesti dihormati dan tiada mana-mana individu mengatasi undang-undang.

Kenyataan PH itu susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Azalina menambah, setiap institusi mesti bertindak dalam ruang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan.

Jelasnya, peranan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan Menteri yang berkaitan hendaklah dilihat berdasarkan peruntukan Perkara 42 dan prosedur yang ditetapkan, bukan melalui tafsiran atau persepsi politik.

“Kerajaan sebelum ini telah menjelaskan di Parlimen bahawa prosedur dan urusan sedia ada berkaitan Lembaga Pengampunan dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Azalina turut menyatakan pendirian jelas yang mana UMNO menghormati keputusan mahkamah, Perlembagaan serta proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Tambahnya, sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan proses yang sebenar, bukan sekadar kenyataan politik.

“Tiada siapa mengatasi undang-undang. Dan tiada siapa mengatasi Perlembagaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here