Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman bercakap pada Sesi Wawancara Bersama Media sempena Ulang Tahun SPRM ke-59 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 10 SEPTEMBER 2026.

KAJANG – Seramai enam individu sudah didakwa membabitkan lapan kes yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, perkembangan itu direkodkan setakat semalam, manakala siasatan terhadap lima lagi isu masih diteruskan.

Antara individu yang sudah didakwa ialah bekas Timbalan Pengurus Besar Pembinaan Tabung Haji Properties, Tengku Kamarul Hisham Tengku Kamarudin; bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan Tabung Haji Properties Sdn Bhd, Nasharudin Ahmad; serta bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Turut didakwa ialah Ketua Pegawai Eksekutif Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad dan seorang bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji, Datuk Adi Azwan Abdul Ghani dijadualkan didakwa pada 24 September ini selepas prosiding sebelum ini ditangguhkan atas faktor kesihatan.

Abd Halim berkata, SPRM turut menyerahkan notis pengisytiharan harta kepada seorang daripada individu terbabit serta ahli keluarga terdekatnya.

Katanya, tempoh tertentu diberikan bagi membolehkan pengisytiharan harta dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

“Sekarang ini terdapat lima lagi penyiasatan yang sedang berlangsung dan kita sedang mengumpulkan maklumat terperinci serta terkini daripada pihak berkaitan,” katanya pada sidang media sempena Program Menembak SPRM Bersama Media di sini, hari ini.

Menurutnya, lima siasatan yang masih dijalankan itu membabitkan isu Deru Semangat, Abraj, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), Al-Faridah serta pemberian bonus tinggi.

Dalam siasatan membabitkan UJSB, SPRM kini menyemak penilaian yang dibuat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta penilai hartanah terhadap beberapa hotel yang dijual kepada syarikat berkenaan.

SPRM turut memohon kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA) untuk mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Arab Saudi.

Abd Halim berkata, kerjasama itu diperlukan bagi mendapatkan maklumat berkaitan akaun bank serta dokumentasi yang relevan dengan siasatan.

Katanya, SPRM pada masa sama sedang meneliti dokumen berkaitan lima kes berkenaan sebelum menentukan tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here