BATU PAHAT – Tindakan seorang pekerja kontraktor lantikan pihak berkuasa tempatan (PBT) menunjukkan isyarat `jari tengah’ kepada seorang wanita semasa operasi menangkap haiwan liar di Sri Gading di sini, kelmarin membawa padah apabila dia ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak polis oleh mangsa iaitu wanita tempatan berusia 29 tahun pada pukul 2.02 pagi semalam.
“Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 11.30 pagi kelmarin ketika pengadu melalui sebuah kawasan perumahan di Sri Gading.
“Terdapat beberapa pekerja kontraktor pengurusan haiwan terbiar lantikan PBT sedang melaksanakan operasi menangkap haiwan terbiar.
“Berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pihak sebelum salah seorang pekerja kontraktor terbabit menunjukkan isyarat tangan yang difahami berunsur lucah dan mengaibkan pengadu,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu tular satu rakaman video memaparkan dakwaan kontraktor terbabit menganiaya anjing terbiar sebelum perakam yang menegur perkara itu diberikan isyarat tangan berunsur lucah dan tidak sopan.
Shahrulanuar berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).
Sementara itu, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dilaporkan akan memanggil kontraktor yang dilantik bagi menguruskan haiwan terbiar serta wakil pencinta haiwan untuk mendapatkan penjelasan menyeluruh mengenai insiden tersebut.
MPBP dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya komited mengekalkan ketelusan dan memastikan kesejahteraan komuniti dalam setiap tindakan. – MalaysiaGazette
















