KUALA LUMPUR – Selepas beberapa kenderaan Jabatan Penjara Malaysia pagi tadi, tiada lagi sebarang pergerakan keluar dan masuk di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta di sini petang ini.
Wartawan MalaysiaGazette di lokasi mendapati suasana masih tenang serta terkawal namun beberapa pengamal wakil media yang menunggu sejak pagi tadi sudah mula beredar.

Terdahulu tumpuan media bermula apabila beberapa kenderaan dengan logo Jabatan Penjara Malaysia dikesan memasuki perkarangan kediaman Najib sekitar pukul 9.40 pagi tadi.
Kenderaan terbabit membawa beberaoa pegawai jabatan berkenaan dipercayai bagi menilai kesesuaian kediaman itu bagi menjadikan lokasi Najib menjalani tahanan rumah.
Beberapa pegawai turut dilihat meninjau kawasan sekitar kediaman selama kira-kira 15 minit sebelum memasuki semula perkarangan premis berkenaan.
Selepas beberapa jam berada di lokasi, dua kenderaan Jabatan Penjara berkenaan dilihat meninggalkan kediaman itu kira-kira 11.50 pagi.
Bagaimanapun, Pegawai Khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar yang ditemui di lokasi enggan mengulas lanjut mengenai kehadiran pegawai terbabit.
Semalam Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berkata dilaporkan berkata, ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Ujarnya, Najib hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Kes yang telah disabitkan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd manakala kes yang masih dalam perbicaraan ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Pegawai Penjara di kediaman Najib, proses pewartaan tahanan rumah jadi perhatian
















