KUALA LUMPUR – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kini mengambil alih siasatan berhubung penularan video persembahan teater yang didakwa mempersendakan lima prinsip Rukun Negara serta mengandungi kenyataan berunsur perkauman.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus mengesahkan laporan pertama mengenai kes berkenaan dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 8.30 malam, semalam.
Beliau berkata laporan dibuat oleh seorang pengadu yang mengesan klip video persembahan pentas itu dimuat naik di sebuah akaun Instagram sebelum dipercayai dipadamkan dan dikongsikan semula oleh seorang pengguna Facebook.
“Siasatan kes ini akan dijalankan secara penuh oleh USJT Bukit Aman. Kita turut menjangkakan beberapa lagi laporan polis berhubung isu sama akan dibuat di seluruh negara dan kesemuanya akan dirujuk kepada laporan asal di Wangsa Maju,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Paparan video berdurasi kira-kira 10 minit itu menunjukkan lima pelakon membacakan setiap prinsip Rukun Negara yang diselangi dengan sindiran sinis serta kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman.
Hasil penelitian awal mendapati kandungan video berkenaan berpotensi menimbulkan kegusaran awam, spekulasi dan menjejaskan ketenteraman dan keharmonian masyarakat.
Berdasarkan semakan, kumpulan teater fizikal antara budaya berkenaan ditubuhkan oleh seorang koreografer tempatan dan berpangkalan di Malaysia serta London, United Kingdom.
Klip berkenaan dipercayai merupakan rakaman pementasan teater yang pernah dipersembahkan pada 2018, sebelum dimuat naik semula oleh kumpulan itu sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini. – BERNAMA
















