Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berpantun ketika hadir pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Tanjung Bidara, Masjid Tanah. Foto FAREEZ FADZIL, 19 SEPTEMBER 2026.

ALOR GAJAH – Pemimpin kerajaan diingatkan supaya tidak menganggap berakhirnya program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) selepas merentasi 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai penamat tanggungjawab kepada rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebaliknya menegaskan, kerajaan perlu terus turun padang bagi memastikan masalah rakyat yang masih belum diselesaikan mendapat perhatian sewajarnya.

Menurutnya, selagi ada rakyat yang memerlukan bantuan, isu yang belum dirungkai dan suara yang belum didengarkan, usaha menyantuni masyarakat mesti diteruskan.

“Jangan tarik nafas lega dahulu! WRUR mungkin telah selesai merentasi 28 DUN tetapi amanah dan tanggungjawab kita kepada rakyat Melaka tiada garis penamatnya.

“Selagi ada rakyat yang memerlukan, selagi ada masalah rakyat yang belum dirungkai, selagi ada suara rakyat yang belum didengarkan, selagi itulah kita mesti terus turun, terus menyantuni serta terus bekerja,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program WRUR Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara di sini malam ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Surrendren Sathasivam.

Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Selain itu turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, perkara yang ditutup pada malam ini hanyalah program WRUR bukan pintu kerajaan, telinga kepimpinan atau tanggungjawab kepada rakyat.

“Malam ini, perjalanan WRUR merentasi 28 DUN menemui titik noktahnya. Tetapi saya mahu kita semua pulang dengan satu kefahaman iaitu yang kita tutup hanyalah programnya, bukan pintu kerajaan, bukan telinga kepimpinan.

“Insya-Allah, selagi pohon pentadbiran ini terus berakar pada kepercayaan rakyat, selagi itulah saya dan barisan kepimpinan akan terus membaja kebajikan, merimbunkan pembangunan dan memayungi kehidupan rakyat Melaka dengan sebaik-baiknya,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

5,170 aduan rakyat diterima sepanjang WRUR, 73.29 peratus selesai – Ab Rauf

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here