Khaled menyampaikan anugerah dalam Majlis Sambutan Maulidul Rasul 1448/2026 Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – UMNO tidak menjadikan isu  pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sebagai modal politik untuk mendapatkan mandat rakyat dalam pilihan raya akan datang.

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya isu pengampunan tersebut akan dimainkan pihak tertentu termasuk juga isu lain dalam usaha untuk mempengaruhi dan menarik sokongan rakyat terhadap mereka.

Tegasnya, terdapat perkara lain yang lebih besar daripada isu tersebut dan pengampunan itu juga tidak wajar dipertikai kerana merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Pengampunan yang dilakukan itu merupakan perkara yang terdapat dalam Fasal 42 Perlembagaan dan memang dibolehkan oleh Perlembagaan.

“Soal pengampunan ini bukan perkara baru, banyak kes-kes pengampunan telah dilakukan sama ada kes orang dihukum mati ataupun dihukum penjara seumur hidup dan sebagainya.

“Banyak kes pengampunan itu diterima baik dan tak dipertikaikan. Kita berharap semua rakyat menerima bahawa kuasa itu (pengampunan) memang ada, memang dibolehkan dan memang merupakan kuasa Yang Di-Pertuan Agong. Tak wajar mana-mana pihak pertikaikan,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis sambutan Maulidul Rasul 1448/2026 Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2 di sini hari ini.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, pengampunan tersebut bukan pengampunan penuh sebaliknya hanya pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Katanya, UMNO sebelum ini tidak pernah mempertikai dan menerima apa sahaja keputusan terhadap Najib yang sudah lama memohon pengampunan tersebut.

“UMNO tak pernah bising apabila kes pengampunannya dipertimbangkan. Maknanya, kita tahu itu hak Yang Di-Pertuan Agong. Bila nak buat, apa nak beri, itu hak mutlak Yang Di-Pertuan Agong.

“Pada pengampunan ini, UMNO berada pada pihak yang suka. Bagi UMNO, kita gembira, kita terimanya, kita menjunjung kasih. Parti-parti lain, terpulang tapi pokoknya, jangan pertikaikan kuasa Yang Di-Pertuan Agong. Itu antara keistimewaan yang termaksud dalam Perlembagaan.Kita wajar faham.

“(Apabila) Agong tak putuskan kita diam. Agong putuskan, kita berterima kasih. Jadi kena faham, jangan kesalahkan ataupun jangan kata ini mesti kesalahan UMNO,” katanya.

Mengenai dakwaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bahawa isu pengampunan Najib itu seakan memberi ‘bola tanggung’ politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau berkata, isu itu tidak wajar dimainkan.

Khaled berkata, keputusan berkenaan perlu difahami sebagai pengampunan bersyarat dan bukannya pengampunan penuh.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here