Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Hi tea Reunion Perintis Reformais di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC) Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 20 SEPTEMBER 2026.

SHAH ALAM – Kedudukan raja perlu ditentukan berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang, bukan parti yang memenangi sebuah pilihan raya, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan, tiada parti yang meletakkan tindakan menggulingkan raja sebagai sebahagian daripada manifesto ketika meminta sokongan rakyat dalam pilihan raya negeri (PRN).

“Majlis Kerajaan Negeri bermesyuarat guling raja, hak siapa? Oh, menang pilihan raya. Masa menang pilihan raya, ada kamu sebut dalam manifesto ‘kalau kami menang, kami akan gulingkan raja.’ Tidak ada.

“Jadi orang bagi sokongan kepada kamu untuk pertahankan sistem raja, tetapi kamu menang, kamu tolak raja. Bukan parti yang menentukan siapa raja tetapi warisan, khazanah, budaya dan Perlembagaan dalam undang-undang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis, di Selangor International Trade Centre (SITC), petang tadi.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah, sistem Raja Berperlembagaan perlu dipertahankan berdasarkan Perlembagaan negeri dan undang-undang, bukannya ditentukan melalui keputusan politik atau parti.

Malah, menurutnya, jika terdapat mana-mana pihak mempunyai pertikaian atau alasan untuk mencabar kedudukan raja, perkara itu perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.

“Kalau ada (pertikaian) di sebaliknya, mulakan jalur undang-undang, bukan di media, bukan melalui parti.

Anwar dalam masa sama, berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan sistem Raja-Raja Melayu dan memastikan perkara berkaitan institusi beraja tidak diputuskan sewenang-wenangnya atas kepentingan politik.

Ini kerana jelasnya, sistem beraja mempunyai peraturan dan kaedah tersendiri yang perlu dihormati, termasuk dalam soal menyatakan persetujuan atau bantahan.

“Sistem raja itu ada peraturan dan kaedah-kaedah yang menyebabkan ia raja, cara kita bicara, setuju atau membantah ada kaedahnya. Oleh itu kita pertahankan,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here