Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard bercakap kepada pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Parti Wawasan Negara di Taman Bukit Kepayang, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Tindakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memecat semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dipersoalkan dari sudut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin mendakwa, kuasa Raja dalam hal pentadbiran perlu dibaca berdasarkan keseluruhan kerangka UUTKNS, termasuk Perkara 38(4) dan 38(5).

“Kuasa Raja memperkenankan tempoh perjawatan Exco dalam Perkara 38(5) UUTKNS ini hanya terpakai sekiranya Menteri Besar telah kehilangan sokongan majoriti (undi tidak percaya), atau berhenti sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 38(4).

“Jika tidak berlaku keadaan yang dinyatakan dalam Perkara 38(4) tersebut maka Raja tidak boleh menjalankan kuasanya sepertimana dalam Perkara 38(5),” katanya.

Menurut beliau, selagi Menteri Besar masih memegang jawatan, kedudukan Exco ditentukan atas nasihat Menteri Besar.

“Maka pemecatan Exco tersebut jika dibuat tanpa nasihat MB, maka secara undang-undangnya adalah khilaf dan tidak berperlembagaan serta tiada kuat kuasa,” katanya dalam hantaran terbaru di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 Exco Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, malam semalam, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua EXCO terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.

Badrul Hisham juga berkata, Raja dalam negara ialah Raja Berperlembagaan dan bukannya monarki mutlak.

“Lebih lagi di Negeri Sembilan ia boleh digelar monarki demokrasi, Raja dipilih bukan diwarisi.

“Raja dan kuasa demokrasi kena saling melengkapi,” katanya.

Beliau turut membangkitkan persoalan berhubung pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Sembilan, termasuk dakwaan terdapat 22 akuan bersumpah (SD) yang menyokong seorang ADUN BN sebagai Menteri Besar.

“Untuk pengetahuan semua, malam kemenangan PRN yang mana rakyat membuat keputusan menolak PH, sudah ada 22 akuan sumpah memilih seorang ADUN BN sebagai MB di mana MB sekarang juga menandatangani.

“Benarkah Tunku Mukhriz memilih calonnya sendiri dengan mengabaikan fakta itu,” soalnya.

Badrul Hisham turut mempersoalkan dakwaan wujudnya cadangan supaya BN bergabung dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri, juga muncul persoalan yang memerlukan penjelasan

“Benarkah ketika pertemuan delegasi dari yang menang PRN ke istana muncul cadangan untuk BN bergabung dengan PH membentuk kerajaan?” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here