Ismail Lasim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Lasim menegaskan sebarang tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tanpa nasihat atau permintaan rasmi Menteri Besar adalah bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, secara asasnya, sistem pentadbiran Negeri Sembilan ditegakkan di atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Berdasarkan Bahagian Kedua UUTKNS 1959, kuasa Kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Jelas beliau, Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran (eksekutif) di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri.

Katanya, kuasa budi bicara yang diberikan kepada Raja dalam hal pentadbiran pula hanya merangkumi perkara-perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.

Ismail menegaskan, kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan Exco secara bersendirian tidak termaktub dalam bidang kuasa budi bicara berkenaan.

“Kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang Exco di bawah Perkara 38(5) UUTKNS 1959 juga tidak boleh dibaca secara berasingan, sebaliknya perlu dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).

“Ini bermakna, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan Exco semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar,” katanya yang menjelaskan tafsiran perundangan dan sempadan kuasa eksekutif negeri itu.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali yang dikeluarkan malam tadi, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.

Sehubungan itu, Ismail menegaskan, tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian mana-mana Exco tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar merupakan kekhilafan dari sudut perundangan serta tidak berperlembagaan.

Beliau turut mendakwa tindakan sedemikian tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.

“Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana Exco Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS.

“Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baharu kerana Exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Tegas Ismail, Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat dipelihara berlandaskan undang-undang yang sah. – MalaysiaGazette

Tuanku Muhriz batal pelantikan Exco Kerajaan Negeri Sembilan serta-merta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here