KUALA LUMPUR – Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam dan pegawai Jabatan Penjara Malaysia dilihat hadir di kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta di sini, hari ini.
Pertemuan itu dipercayai membabitkan mesyuarat perincian aspek keselamatan dan penilaian kediaman berkenaan susulan cadangan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Bagaimanapun, identiti pegawai Jabatan Penjara Malaysia yang hadir pada mesyuarat tersebut masih belum dapat dipastikan.
Empat kenderaan dilihat memasuki kediaman berkenaan manakala Anuar Bakri dilihat tiba menaiki kenderaan kira-kira jam 2.20 petang.
Sehingga kini, mesyuarat antara dua pihak masih lagi berlangsung.
Bagaimanapun, tujuan rasmi mesyuarat dan perkara yang dibincangkan masih belum diperincikan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















