KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd tidak mendapat perbicaraan yang adil dan situasi tersebut mewajarkan perayu dibebaskan daripada kesemua 96 pertuduhan yang dihadapinya.
Ia melibatkan 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu serta 64 pertuduhan pengubahan wang haram, 14 tahun lalu.
Peguam. Muhammad Rafique Rashid Ali berhujah, tiada petunjuk dalam alasan penghakiman atau nota prosiding yang menyatakan hakim Mahkamah Sesyen yang mengambil alih perbicaraan kes telah membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan saksi pendakwaan sebelum memutuskan wujud kes prima facie.
Menurut beliau, hakim Mahkamah Sesyen kedua yang mengambil alih kes berkenaan tidak mendengar sebahagian besar keterangan saksi pendakwaan termasuk saksi penting.
Hujah Muhammad Rafique, pihak pembelaan tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa hakim itu telah meneliti nota keterangan terdahulu, rakaman transkripsi mahkamah (CRT) atau pemeriksaan balas terhadap saksi berkenaan.
“Persoalannya sekarang, di manakah dalam alasan penghakiman ini terdapat bukti bahawa hakim berkenaan telah melaksanakan penilaian maksimum terhadap semua bukti keterangan?
“Bagaimana hakim Mahkamah Sesyen tersebut mencapai dapatan prima facie?” soalnya ketika berhujah di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin.
Rafique berkata, pihaknya tidak mempertikaikan bahawa pertukaran hakim dibenarkan di bawah undang-undang.
Namun hujahnya, isu yang dibangkitkan adalah sama ada hakim yang mengambil alih kes telah membuat keputusan yang betul walhal hakim pertama telah mendengar keterangan saksi pendakwaan pertama hingga ke-63 serta sebahagian keterangan saksi ke-64.
Menurutnya, pihak pembelaan berhujah bahawa penilaian maksimum perlu dibuat terhadap keseluruhan keterangan di akhir kes pendakwaan.
Muhammad Rafique turut berhujah bahawa kegagalan membuat arahan atau pertimbangan terhadap perkara yang menjadi teras kes, boleh menyebabkan berlakunya salah arah (misdirection) yang membawa kepada salah laksana keadilan.
Beliau berkata, perkara itu turut berkait dengan Seksyen 261 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) berhubung pertukaran hakim serta Seksyen 173(f) CPC yang mewajibkan mahkamah mempertimbangkan sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie selepas kes pendakwaan ditutup.
Dalam hujahnya, Rafique turut mencabar dapatan Hakim Mahkamah Sesyen kedua yang menyifatkan pembelaan Otman sebagai penafian, rekaan dan strategi yang difikirkan kemudian (afterthought).
Beliau berkata, dapatan itu dipersoalkan kerana hakim berkenaan tidak berada di mahkamah ketika sebahagian besar keterangan pendakwaan diberikan dan tidak dapat melihat sendiri perjalanan pemeriksaan balas saksi-saksi berkenaan.
Prosiding bersambung esok.
Otman, 67, merayu terhadap sabitan dan hukuman ke atas 96 pertuduhan iaitu 17 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, 15 pertuduhan salah guna kedudukan dan 64 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.
Pada 6 Julai 2023, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM284.2 juta terhadap Otman selepas mendapati beliau bersalah atas kesemua pertuduhan berkenaan.
Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, Otman dijatuhi hukuman penjara berjumlah 243 tahun dan didenda RM190 juta atau dipenjara 119 bulan, sekiranya gagal membayar denda.
Bagi 15 tuduhan salah guna kedudukan, lelaki itu dipenjara 85 tahun dan didenda RM10.8 juta atau dipenjara 125 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.
Sementara itu, bagi 64 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram, mahkamah memerintahkan Otman dipenjara antara tiga bulan dan 11 tahun dan didenda berjumlah RM83.4 juta atau dipenjara 934 bulan sekiranya denda gagal dibayar.
Bagaimanapun, hakim berkenaan mengarahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula 6 Julai 2023, menjadikannya selama 15 tahun.
Hakim itu juga membenarkan permohonan Otman untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman denda dan penjara sementara menunggu rayuan. – MalaysiaGazette
















