KOTA TINGGI – Seorang lelaki yang disyaki mencampak seorang kanak-kanak berusia lima tahun dalam sungai hingga maut sebelum mengamuk dengan parang mengejar seorang lelaki di Kampung Padang, Tanjung Sedili hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menerima maklumat berkenaan kejadian tersebut yang berlaku pukul 9.30 pagi.
“Polis terima satu laporan berkenaan kejadian seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an mengamuk di luar rumah dengan bersenjakan parang serta mengejar seorang lelaki yang berumur 40 tahun.
“Sebelum kejadian itu, suspek dipercayai telah mencampak anak lelaki tersebut iaitu seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun ke dalam sungai sehingga menyebabkan kematian ke atas kanak-kanak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Yusof berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota Balai Polis Kuala Sedeli pergi ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek berkenaan iaitu lelaki warga tempatan berumur 37 tahun.
Semasa tangkapan dilakukan berlaku pergelutan dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang anggota polis namun suspek berjaya ditahan.
Menurutnya, pembantu pegawai perubatan yang tiba di sungai tersebut mengesahkan kematian mangsa.
“Mayat mangsa kanak-kanak perempuan akan dihantar ke Hospital Kota Tinggi dan akan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang esok untuk dibedah siasat.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek juga dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental,” tambahnya .
Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara tidak 30 hingga 40 tahun dan dihukum 12 sebatan.
Terdahulu tular cerita mengenai seorang kanak-kanak dibunuh seorang lelaki dikatakan bapa saudaranya.- MalaysiaGazette
















