Mahani menunjukkan gambar Puteri Nur Afiyah yang maut dicampak dalam sungai, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini

KOTA TINGGI – Kanak-kanak yang maut dicampak dalam sungai oleh bapanya saudaranya di Kampung Padang, Tanjung Sedili di sini pagi tadi mengajak bapanya bersolat Isyak malam tadi.

Nenek mangsa, Mahani Mad Som, 63, tidak menyangka ajakan cucunya itu merupakan satu petanda yang Puteri Nur Afiyah Qalesya Mustafa yang berusia lima tahun akan pergi buat selama-lamanya.

Mahani berkata, apabila dikenang semula itu merupakan antara kenangan terakhir untuk keluarganya sebelum menemui ajal dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi.

“Papa, cepatlah… marilah solat. Ini kata-kata terakhir Puteri kepada bapanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang hari ini.

Terdahulu portal ini melaporkan polis menahan suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun selepas mencampak anak saudara perempuannya ke dalam sungai hingga maut.

Sebelum kejadian, suspek mencampak mangsa ke dalam sungai sebelum mengamuk dengan parang dan mengejar bapa mangsa berusia 40 tahun yang juga abangnya, Muszaidi Makmor, 40-an.

Mahani menunjukkan lokasi cucunya ditemui jasad Puteri tertiarap di tebing sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya.

Bercerita lanjut, Mahani berkata, cucunya itu bersungguh-sungguh mengajak bapanya menunaikan solat Isyak malam tadi.

“Dia tak pernah cakap macam itu, memang semalam baru pertama kali saya dengar dia berkali-kali ajak bapanya solat bersama-sama,” katanya.

Dia berkata, mereka sempat bersarapan bersama-sama sebelum cucunya minta izin untuk bermain di luar rumah.

“Puteri kemudiannya bermain buai dan selepas itu saya pun tercari-carilah mana dia. Saya tanyakan bapanya tetapi dia pun tidak tahu.

“Saya rasa tidak sedap hati dan terus mengajak menantu ke sungai sebelum ternampak selipar Puteri di atas tebing,” ujarnya.

Lebih memilukan, jasad Puteri ditemui tertiarap di tebing sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah neneknya.

Kata Mahani, Puteri yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik memang rapat dengannya.

“Dia budak cerdik, bila pulang ke kampung akan bercerita macam-macam hal,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Budak maut dicampak dalam sungai: Bapa mangsa pulang Tanjung Sedili ambil ubat semasa kejadian

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here